PENYANYI dan pelakon Joey Daud menafikan terlupa lirik ketika membuat persembahan bersama pasangan duonya, Naqiu seperti didakwa juri tetap, Mas Idayu pada konsert separuh akhir Famili Duo musim ke-4 (FD4) semalam.
Menurut Joey atau nama sebenar, Zulkifli Daud lakonan seperti lupa lirik adalah sebahagian daripada konsep persembahan selain memilih untuk tidak membalas komen kerana bimbang akan mencetuskan kontroversi.
Sudah tentu ini satu kejutan besar buat kami. Saya dan Naqiu tertanya-tanya adakah persembahan kami begiti teruk? Kalau teruk, kami mohon maaf kerana sudah mengecewakan ramai pihak.
“Tapi, sekiranya tidak teruk, ambillah itu sebagai hiburan yang kekal dalam jiwa. Sebagaimana komen juri yang mengatakan saya banyak lupa lirik itu sebenarnya sebahagian daripada konsep persembahan kami.
“Sebenarnya saya tidak lupa lirik semasa buat persembahan, di bahagian mana saya lupa lirik? Saya tak mahu jawab komen juri sebab risau nanti jadi kontroversi,” katanya selepas konsert separuh akhir FD4 di Studio TV3, Glenmarie di sini, semalam.
Dalam pada itu, Joey yang pernah bergelar juara Mega Spontan tahun lalu kecewa apabila Mas Idayu melontarkan komen dengan mengatakan dia tak pernah memegang gelaran juara dalam mana-mana pertandingan realiti sebelum ini.
Tegasnya, dia terbuka hati untuk menyertai FD4 bagi menambah koleksi pencapaian dalam kerjaya seninya namun terkilan kejuaraannya sebelum ini tidak diketahui juri.
“Saya bersetuju menyertai program ini untuk menambah pencapaian yang pernah menang gelaran juara.
Tetapi juri pun tak pernah tahu sebelum ini saya pernah bergelar juara tapi tidak mengapa mungkin setakat ini saja, yang penting kejuaraan kami di hati peminat,” katanya lagi.
Cuba menerima hakikat meski bergelut dengan rasa kecewa selepas terkandas di pentas separuh akhir, Joey bagaimanapun tetap menerima keputusan tersebut dengan hati yang reda.
“Saya perlu lihat kembali persembahan kami supaya tahu di mana silapnya. Di atas pentas kami tidak tahu bagaimana sudut pandang penonton dan juri.
Untuk FD4 ini, saya dan Naqiu gabungkan kelebihan yang kami ada dengan mengikut kehendak program iaitu untuk menghiburkan.
“Tapi, tidak mengapa setakat ini sahaja perjalanan kami dan apa yang penting dapat menghiburkan peminat. Perasaan kami bercampur baur sekarang dan sudah tentu ia satu kejutan,” ujarnya.
Semalam, persembahan berkonsepkan muzikal komedi dengan mengetengahkan jalan cerita warga asing mahu menyertai program nyanyian tempatan yang dibawakan pasangan sepupu itu gagal menambat hati juri dan disifatkan Mas Idayu tidak mencapai tahap persembahan yang sepatutnya untuk peringkat separuh akhir.
Pada konsert semalam, Naqiu dan Joey yang mendendangkan lagu Terhangat Di Pasaran dendangan asal KRU, Inilah Nasibku (Nico) dan Kejoraku Bersatu (Search).
Turut tersingkir semalam adalah pasangan adik-beradik Zahid dan Anne.
Konsert separuh akhir FD menyaksikan hanya tiga pasangan berjaya melayakkan diri ke peringkat akhir iaitu pasangan sepupu Ayie Elham dan Salma Asis, Tomok dan Sharul Kamal (sepupu) serta Shiha Zikir dan Ieda Zikir (adik-beradik).
Konsert akhir FD4 yang dijadual berlangsung pada Ahad depan menyaksikan setiap finalis bakal bersaing merebut hadiah utama wang tunai berjumlah RM100,000. – HIBGLAM