Maaf, saya tak boleh jawab, kes dalam siasatan – Zamaera

“MAAF, saya tak boleh jawab apa-apa soalan, pending legal action based (memandangkan kes tersebut masih dalam siasatan).”

Demikian jawapan balas penyanyi rap wanita, Zamaera yang mendakwa dirakam secara rahsia ketika serbuan Bahagian Operasi Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) di sebuah pusat kecantikan dan kesihatan, baru-baru ini.

Pelantun lagu Big Fish itu berharap orang ramai faham dengan situasinya sekarang berhubung perkara terbabit.

Terima kasih sebab faham dan segala kerjasama,” katanya menerusi mesej ringkas kepada HibGlam.

Terdahulu, Exco Kerajaan Tempatan dan Pelancongan Selangor, Datuk Ng Suee Lim berkata, beliau secara peribadi menyatakan kekesalan dan permohonan maaf berhubung insiden tersebut sehingga menjadi tular.

Kerajaan negeri mengakui belum ada prosedur operasi standard (SOP) yang jelas berhubung penguatkuasaan di rumah urut.

“Pihak penguatkuasaan pergi ke situ untuk jalankan operasi. Kita belum ada SOP yang jelas bagaimana buat penguatkuasaan tentang rumah urut tidak berlesen dan sebagainya. Apa yang berlaku dan saya dimaklumkan rumah urut tersebut tidak berlesen.

Saya tidak menyalahkan penyanyi itu dan faham beliau mungkin tercabar dengan kehormatan dan sebagainya.

“Mungkin keperibadian dan hak serta sebagainya, itu saya faham apa yang dinyatakan suara hati beliau,” katanya pada sidang akhbar berkenaan cukai taksiran tahun 2025, hari ini.

Sebelum ini, tular rakaman video dimuat naik seorang penyanyi wanita mendakwa terdapat anggota penguat kuasa merakam dirinya yang tidak berpakaian ketika sedang berurut di sebuah pusat kecantikan dan kesihatan di Subang Jaya. -HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok