MENGANGKAT mitos harimau jadian dalam kalangan manusia yang mengamalkan ilmu hitam, Lil Studios Sdn. Bhd. merealisasikan kisah masyarakat dahulu kala menerusi filem Limbungan: Tragedi Hitam 1975.
Naskhah yang memaparkan kepercayaan terhadap amalan mistik itu membawa penonton menyelami dunia mitos tentang makhluk itu di sebalik konflik pembangunan di sebuah kampung sekitar era 1970-an.
Pengarahnya, Fazli Yasin berkata, kecenderungan terhadap cerita mitos yang disampaikan dari generasi ke generasi dirasakan sebagai plot menarik untuk diketengahkan kepada khalayak.
“Sejak kecil saya memang suka melukis pelbagai bentuk makhluk pelik termasuk menghasilkan novel grafik tentang harimau jadian ketika berusia tujuh tahun.
Sekali gus apabila terbabit dalam dunia produksi terutama kesan khas (VFX) dan imej janaan komputer (CGI), sudah tersedia imaginasi untuk mengangkat mitos ini ke layar perak.
“Sebagai pelengkap, kami selitkan elemen ‘jump scare’ selain kemasyarakatan, semangat setia kawan dan pengorbanan dalam genre thriller ini yang tentu sahaja menyuntik adrenalin.
Menurut pakar VFX yang berpengalaman luas menghasilkan kesan khas untuk banyak filem blockbuster itu, nama Amerul Affendi dan Kodi Rasheed sudah berada dalam fikirannya ketika menulis skrip.
Katanya, dua aktor terbabit memang pilihan tepat bagi menggalas peranan sahabat baik iaitu Ramli dan Malik yang berhadapan harimau jadian selepas tersesat di sebuah kampung.
“Limbungan: Tragedi Hitam 1975 mengisahkan perjalanan Ramli dan Malik ke Kampung Limbungan mengambil alih projek yang terbengkalai.
Sebelum itu saya sudah buat banyak kajian termasuk mengenai projek hidroelektrik kedua sekitar era 70-an yang merupakan tempoh masa paling sesuai untuk mengaitkannya dengan situasi ketika itu.
“Bagi saya, Amerul dan Kodi paling tepat membawakan karakter yang sarat emosi terutama sepanjang berhadapan makhluk tersebut,” ujarnya selepas pelancaran trailer, poster dan lagu runut bunyi filem Limbungan: Tragedi Hitam 1975.
Selain Amerul dan Kodi, naskhah tersebut turut dibintangi Chacha Maembong, Cat Farish, D’Boy Hamdan, Bohari Ibrahim, Zainal Isa, Nor Albaniah dan Azan Addin.
Jelas Fazli lagi, menarik tentang filem ini adalah kisah harimau jadian yang pernah diceritakan menerusi catatan Residen Pahang, Sir Hugh Clifford yang bertugas pada 1896 hingga 1903.
Sementara itu, antara cabaran terbesar produksi termasuk mencari lokasi sesuai dengan suasana hutan sebelum pihaknya nekad membina set penggambaran yang menyerupai kawasan kampung.
Fazli juga mendedahkan mereka menghasilkan tujuh versi kostum harimau jadian sebelum memilih yang terbaik bagi memastikan kesan visual lebih realistik.
Kami bina sendiri set dalam studio besar, namun bersama kesan khas, selepas menonton trailer babak ditampilkan terutama adegan menakutkan sangat hidup,” katanya mengenai filem yang akan ditayangkan pada 6 Februari 2025 itu. – HIBGLAM