KUAT. Itu definisi sesuai untuk menggambarkan semangat pelakon Yasmin Hani yang baru sahaja menoktahkan hubungan bekas kekasihnya, Alif Hadi selepas tiga tahun menyulam cinta.
Bertemu empat mata dengan pemilik nama lengkap Yasmin Hani Ismail Richardson, aura positif dapat dirasakan. Lagaknya sentiasa ceria bagai tidak memikul beban kehidupan.
Biar pernah merancang ingin mematerikan cinta di jenjang pelamin, wanita berstatus ibu tunggal itu, panas yang diharap hingga ke petang rupa-rupanya hujan di tengah hari.
Pelakon juga pengacara berusia 45 tahun itu enggan menutup pintu hati, sebaliknya masih ingin mencari seseorang yang boleh mengisi kekosongan di jiwa.
“Saya sebenarnya tak serik bercinta sebab kita tak pernah serik makan kalau pun termakan ayam busuk. Bagi saya, hidup perlu diteruskan.
Asalkan saya dapat cari rezeki dan menyara keluarga, itu sudah cukup buat saya gembira. Ada teman lelaki atau tidak, itu adalah bonus.
“Kalau ada teman lelaki atau bakal suami yang memahami dan menyayangi, alhamdulillah lengkap hidup saya,” katanya kepada Pose.
Berkongsi lanjut, Yasmin tidak memandang perpisahan sebagai sesuatu perkara buruk, selain berharap situasi dilalui antara hikmah bagi memperbaiki kesilapan lampau.
“Bagi saya, bila sesuatu yang buruk terjadi dan orang akan perbaiki. Kadang-kadang, bila sudah dua atau tiga kali berlaku, barulah belajar daripada kesilapan.
Kalau boleh, tahan apa sahaja dugaan yang boleh ditahan sebab itu saya selalu doa bagi nampak hidayah supaya selalu reda dan perbaiki hidup.
“Bukan disebabkan caci maki, baru kita hendak berubah. Biar ikhlas supaya perjalanan dipermudahkan,” jelasnya.
Selain isu putus cinta dengan Alif, pelakon filem Duyung itu sering menjadi tumpuan kerana dapat mengekalkan hubungan harmoni dengan bekas suami, Sha’arin Razali dalam menjaga anak-anak.
Jadi teladan
Bagi Yasmin, pendekatan yang diambil semata-mata demi melihat anak-anak membesar sempurna dengan penuh kasih sayang daripada kedua-dua ibu bapa.
“Ada yang mesej langsung (DM) saya macam mana buat (berbaik dengan bekas suami), saya cuma jawab kena bina dan berbincang dengan keluarga.
Yang penting adalah arah tuju anak. Apa pun yang berlaku antara kami, urusan menjaga anak-anak perlu diteruskan.
“Kalau pergi bercuti bersama pun memang demi anak-anak. Lagipun kami sudah tahu kekuatan masing-masing ketika bercuti,” tutur aktres berdarah kacukan Inggeris – Melayu itu.
Meskipun bekas suaminya yang juga pemuzik sudah memiliki kekasih, situasi tersebut tidak menjejaskan hubungan mereka.
Saya boleh duduk dengan teman wanita dia dan kami tiada masalah sebab bagi saya kehidupan diteruskan.
“Kalau dia nak kahwin pun teruskan. Asalkan kesihatan anak-anak berada pada tahap terbaik dan dapat tunjukkan contoh bagi buat mereka,” ujarnya.
Bercakap mengenai permata hati, pengacara program Helo Doktor itu menzahirkan kerisauan melihat perkembangan semasa yang saban waktu ada sahaja kes jenayah melibatkan kanak-kanak.
Sebagai persediaan, dia mempersiapkan ilmu kepada dua anaknya Noah Ismail Wong dan Eissa Elzander Wong dengan kesedaran awal sekiranya berlaku sebarang insiden tidak diingini.
“Saya banyak tunjuk isu terkini untuk mengajar sekiranya terjadi kepada mereka.
Namun, saya tak nak buat sampai menakutkan mereka. Risau pula saya pindahkan ketakutan kepada anak-anak padahal mereka sebelum ini hidup gembira dan senang sahaja,” tuturnya.
Rancangan bual bicara
Beralih topik perbualan, Yasmin yang bakal muncul dengan dua filem pada tahun hadapan berjudul Duyung dan Magik
Rompak tidak hanya menumpukan kariernya dalam bidang lakonan.
Buat masa ini, dia juga sedang merancang untuk menghasilkan sebuah program bual bicara bagi melepaskan rindu dalam bidang pengacaraan.
“Saya baru habis penggambaran Duyung dan sedang menjalani penggambaran cerita Magik Rompak arahan Adrian Teh.
Dalam masa sama, saya juga dalam perancangan menghasilkan ‘talk show’ (program bual bicara) bersama Catriona Ross yang akan ditayangkan dalam YouTube pada Januari ini.
“Idea program bual bicara ini memang daripada saya sebab rindu nak buat pengacaraan. Kalau nak tunggu stesen televisyen panggil ibarat bulan jatuh ke riba jadi saya lakukan sendiri,” jelasnya lagi.
Berkongsi lanjut, Yasmin memaklumkan kesukaran yang dilalui bagi penghasilan program tersebut semata-mata untuk memberikan ilmu pengetahuan buat masyarakat.
Tak senang ya buat ‘talk show’. Paling susah nak kena cari peruntukan dan panggil artis. Ada juga yang tak mahu buat, mungkin sebab mereka rasa tiada orang tengok YouTube.
“Padahal apabila saya buat kajian, orang sekarang dah tak tengok televisyen, mereka lebih fokus YouTube.
“Jadi, saya harap ‘talk show’ kami dapat beri kesedaran kepada semua tidak kira jantina,” tutupnya. – HIBGLAM