DIA sedar untuk masuk ke dunia seni tidak cukup hanya dengan berlenggang kangkung, sebaliknya. persediaan, keberanian dan tekad menjadi bekalan menggapai impian.
Pegangan sebegitu yang berpasak di jiwa anak jati Sarawak, Michelle Lungan demi melestarikan impian bergelar pelakon.
Bermula sebagai kru produksi di stesen televisyen TVS, dia tidak pernah menyangka langkah kecil di belakang tabir membawa dirinya ke hadapan kamera.
Lebih bermakna, dia diberi mandat sebagai bintang utama filem Tegkang yang mula ditayangkan di pawagam seluruh negara sejak 28 November lalu.
Istimewanya naskhah arahan Josh Nawan tersebut digarap sebagai tanda penghormatan buat warisan budaya masyarakat Kelabit di negeri tanah tumpah darahnya.
Seperti bermimpi di siang hari, Michelle bersyukur bakatnya ‘dilihat’ di layar perak buat pertama kali, apatah lagi dengan kisah yang sangat dekat dengan dirinya.

BERKETURUNAN Kelabit, Michelle cukup berbangga karya pertama yang mengangkat dirinya sebagai heroin filem turut memaparkan budaya suku etnik tersebut ke layar perak.
Kredibiliti pelakon tinggi lampai itu diuji apabila diberi tanggungjawab menggalas watak Rinai, seorang gadis Kelabit dari Bario yang membawa beban emosi dan konflik dalaman.
“Watak Rinai sangat dekat di hati saya. Sebagai anak Kelabit, filem berkenaan bukan sekadar peluang lakonan bahkan tanggungjawab untuk mewakili budaya dan bahasa kaum saya.
Tegkang menjadi filem pertama yang menggunakan bahasa Kelabit dan menjalankan penggambaran di Bario, Sarawak. Itu sahaja sudah cukup untuk membulatkan hati saya
“Kesempatan sebegini mungkin hanya datang sekali seumur hidup dan saya tidak mahu melepaskannya,” jelasnya.
Membawa karakter yang agak kompleks, Michelle mengakui karakter Rinai mengajarnya dari segenap aspek baik sebagai pelakon mahupun manusia.
“Rinai memberi cabaran besar kepada saya kerana memerlukan emosi dan konflik dalaman yang kompleks.
Dia seorang wanita yang kuat dan berani, tetapi juga mempunyai kelemahan yang menjadikannya lebih manusiawi.
“Melalui Rinai, saya belajar memahami kekuatan dan kelemahan seorang wanita yang mahu melakar impian, walaupun dalam kaadaan sarat kekangan,” jelasnya.

PETALING JAYA, 28 OKTOBER 2024 – Sesi footgrafi bersama pelakon filem Tegkang, Michelle Lungan di Studio Media Mulia sdn. Bhd., Quattro West di sini, hari ini. Gambar; MUHAMAD IQBAL ROSLI/Pemberita; WAFA
Sebagai pendatang baharu, pemenang trofi Pelakon Wanita Terbaik Mini Film Festival ke-20 anjuran Universiti Malaysia Sarawak itu tidak pernah menganggap jalan yang dilaluinya mudah. Dia faham keperluan untuk terus belajar dan menerima kritikan membina demi memperbaiki diri.
Saya tahu perjalanan ini masih panjang. Saya baru bermula dan saya tidak mahu berhenti di sini. Saya berharap khalayak dapat memberikan ruang untuk saya membuktikan bakat. Setiap langkah adalah peluang untuk saya belajar dan menambah baik apa yang kurang.
“Bidang lakonan bukan sekadar minat, tetapi kecintaan saya sejak kecil. Kini, saya mahu menjadikannya karier yang bermakna,” katanya kepada HibGlam.
Masih dalam konteks arena seni, penulis sempat bertanya wanita berambut ikal mayang itu, siapa yang menjadi idolanya dalam lakonan.
Michelle Yeoh
Tanpa ragu-ragu, Michelle berkata dia berkiblatkan Tan Sri Michelle Yeoh sebagai inspirasi dek kejayaan luar biasa yang memberikan harapan kepada pelakon Malaysia untuk melakar nama di pentas dunia.
Tan Sri Michelle Yeoh membuktikan bahawa pelakon Asia, khususnya dari Malaysia, mampu bersaing di peringkat antarabangsa. Kejayaan beliau bukan hanya inspirasi buat saya tetapi seluruh komuniti seni di negara ini.
“Saya berharap dapat mengikuti jejak langkah beliau, walaupun perjalanan itu mungkin panjang dan penuh cabaran,” katanya yang turut mengagumi pelakon terkenal Filipina, Kathryn Bernardo.

KEBETULAN berkongsi nama serupa, Michelle memahatkan bintang Hollywood kelahiran Malaysia, Michelle Yeoh sebagai idola dalam karier seninya.
Ditanya tentang hasrat andai mahu bergandingan dengan mana-mana bintang, Michelle menguntai senyuman, lalu menyebut nama Aedy Ashraf.
“Saya pernah melihat Aedy berlakon dalam satu babak yang sangat menyentuh hati. Itu memberi kesan yang mendalam kepada saya.
Saya harap dapat berlakon bersamanya suatu hari nanti. Saya percaya dan yakin dia mampu mencetuskan dinamik yang menarik sebagai pasangan lakonan.
“Gabungan bakat dan emosi dia ketika berlakon mengujakan untuk bekerjasama tetapi buat masa sekarang saya hanya mampu berangan,” kongsinya.
Watak aksi
Ingin terus bereksperimentasi dengan pelbagai naskhah dan watak, Michelle juga berharap dapat mencuba genre baharu seperti aksi yang dianggapnya sangat menarik.
“Saya ingin meneroka watak-watak yang mencabar fizikal dan mental, seperti dalam filem aksi.
Walaupun saya tahu genre ini memerlukan latihan dan disiplin tinggi, saya rasa watak sedemikian merupakan peluang yang tidak boleh dilepaskan jika ditawarkan.
“Saya mahu terus mencabar diri untuk menjadi pelakon yang lebih versatil seterusnya mempunyai kredibiliti sebagai penggiat seni serba boleh,” tutupnya. – HIBGLAM