Konsert batal, memang memalukan semua orang – Penyanyi Indonesia

SUDAH sampai di Malaysia, penyanyi Indonesia Feby Putri kesal apabila konsert One Love Music Festival yang dijadualkan berlangsung malam ini dibatalkan pada saat akhir.

Penyanyi itu berkata, beberapa perkara tidak dapat dipenuhi Tuff KL selaku penganjur sehingga pihak terbabit memutuskan tidak meneruskan konsert tersebut 12 jam sebelum acara bermula.

“Rakan-rakan Malaysia, nampaknya soal ‘setlist’ yang kita bincang semalam tak dapat mendengarnya bersama-sama.

“Kami dan pasukan telah tiba (Malaysia) tetapi ada satu perkara yang penganjur tidak penuhi dengan kami.

“Dan akhirnya penganjur memberikan kenyataan muktamad sebulat suara bahawa acara dibatalkan,” tulisnya dalam Insta Story.

Teman seperjuangannya, Nadin Amizah yang juga sudah tiba di Kuala Lumpur mengakui terkejut dengan pembatalan konsert yang dianggap menyusahkan banyak pihak.

“Siapa yang dah sampai Malaysia tapi ternyata acaranya batal. Setiap kali acara dibatalkan macam ini, memang memalukan semua orang.

“Kasihan penganjur sebab mesti banyak benda besar tak terduga yang tak dapat dibantu apa-apa. Kasihan penyanyi dan pasukan kami yang masih belum dibayar dan ini membuang masa serta tenaga.

“Namun yang paling menyedihkan tentunya penonton yang telah membeli tiket, penginapan dan pengangkutan untuk datang ke konsert tersebut,” tulisnya di laman sosial.

Semalam Tuff KL mengumumkan pembatalan konsert One Love Music Festival yang sepatutnya berlangsung di MAEPS Serdang malan ini atas alasan kekurangan dana.

Selain Feby Putri dan Nadin Amzah, konsert tersebut turut membariskan 10 lagi penyanyi dan band termasuk Hujan, Insomniacks, Bunkface, Drama Band, Nadhif Basalamah, Salma Salsabil, Nabil Taqiyyah, Gerhana Skacinta dan Five Three Studio.

Pengumuman mengejutkan itu mengakibatkan pembeli tiket kecewa biarpun penganjur berjanji memulangkan wang mereka. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok