TIDAK pernah memaksa anak-anak bekerja, pelakon Anzalna Nasir memberi ruang kepada mereka untuk menonjolkan potensi diri tanpa paksaan.
Anzalna atau nama sebenarnya Nur Anzalna Md Nasir, berkata, Mohamad Eidrees dan Mohamad Emirhan secara rela beraksi di hadapan kamera sebagai model atau duta produk.
“Eidrees sudah jadi duta jenama sejak umur setahun, dia biasa dengan kamera, manakala Emirhan pula baru nak mula tahun ini bersama satu jenama susu, jadi dia masih dalam proses belajar.
Bekerja dengan kanak-kanak bukan mudah. Kita tak boleh paksa mereka demi duit. Kalau mereka enggan, kita kena lepaskan. Jangan sesekali paksa.
“Alhamdulillah, semalam Emirhan sendiri yang pilih baju dan ikut kami buat ‘photoshoot’,” katanya dalam Insta Story.
Menerusi video dikongsikan, kedua-dua anak aktres yang berusia lima dan dua tahun itu menjalani penggambaran untuk satu jenama pakaian sempena hari raya.
Pelakon drama Cinta Dari Syurga itu mengakui pengalaman yang diraih sepanjang terbabit dengan sesebuah jenama atau produk merupakan memori indah buat mereka apabila dewasa kelak.
Gembira sangat sebab ini semua adalah kenangan sewaktu mereka kecil,” ujarnya.
Selain dua permata hati, suaminya Hanif Zaki yang juga ahli perniagaan turut serta dalam kempen promosi terbabit.
Sebelum bergelar pelakon, Anzalna lebih dulu aktif dalam bidang peragaan malah pernah menyertai pertandingan Dewi Remaja 2009/2010. – HIBGLAM