TAN Sri Michelle Yeoh membuktikan dirinya artis serba boleh apabila lagu dendangannya bersama Cynthia Erivo berjudul The Wizard And I lolos carta Billboard Hot 100.
Pemenang Oscar itu berkongsi berita gembira tersebut menerusi hantaran dalam Instagramnya.
Terima kasih @cynthiaerivo dan Stephen Schwartz. Sekarang saya seorang penyanyi,” tulisnya.
Dendangan yang dimuatkan dalam filem Wicked lakonan bintang Hollywood asal Malaysia itu merupakan pengalaman muzikal sulung buatnya.
Biarpun pernah mendedahkan nyanyian antara tugasan menggerunkan, Yeoh, 62, yang menggalas watak Madam Morrible dalam naskhah tersebut tetap menyahut cabaran.
Kecintaan terhadap genre muzikal broadway itu nyata mengatasi kebimbangan sehingga mampu menonjolkan prestasi terbaik terutama dari segi nyanyian.
Wicked adalah cerita dunia fantasi di mana orang tiba-tiba menyanyi dan menari berbanding bercakap. Saya sangat suka genre begitu,” katanya dalam satu temu bual.
Menerusi filem yang turut dibintangi penyanyi Ariana Grande itu, Yeoh kembali disatukan dengan pengarah, Jon M Chu selepas pernah bekerjasama untuk filem pecah panggung Crazy Rich Asians sebelum ini.
Wicked turut dibintangi ramai lagi nama besar dalam industri hiburan termasuk Cynthia Erivo, Jonathan Bailey dan Jeff Goldblum. – HIBGLAM