Khenobu simpan impian jadi pelakon aksi 

SELEPAS mula ditayangkan pada 28 November lalu, filem Kahar: Kapla High Council menerima sambutan hangat dalam kalangan kaki wayang. 

Bukan hanya naskhah yang mempunyai alur cerita menarik, barisan bintang yang dipertaruhkan turut ‘memberi’ bagi memastikan kisah tersebut sampai kepada khalayak.

Melihat kesungguhan pelakon lain, bakat baharu Khenobu mengakui turut bersemangat menunjukkan aksi cemerlang dalam filem arahan  Razaisyam Rashid tersebut.

Meskipun hanya menjayakan beberapa babak pergaduhan, Khenobu yang menggalas watak Jojo seperti sudah sebati dengan perwatakan karakter sebegitu

Ikuti perkembangan cerita anak jati Sabah dengan nama sebenarnya Mohammad Faridh Mohd. Yasin, 30, itu yang berharap mampu bergelar bintang aksi lasak suatu hari nanti. 

KOSMO!: Pertama kali muncul dalam layar perak, bagaimana Khenobu mampu menunjukkan aksi yang begitu cemerlang?

KHENOBU: Senang sebenarnya nak bawakan watak Jojo sebab saya tulis biodata dia. Perkara tersebut membantu menghidupkan karakter sehingga terkeluar perangai psiko dia. Saya gembira kalau orang nampak Jojo jahat sebab itulah perancangannya. Meskipun babak saya pendek tetapi saya cuba gunakan setiap saat dalam filem dengan sehabis baik. 

Apakah perancangan anda dalam dunia lakonan? 

Saya jenis akan bersedia untuk naskhah seterusnya walaupun tidak tahu apa lagi. Ini dipanggil ‘manifest’ (simpan impian) supaya dapat bekerja dalam filem aksi lagi. 

Perancangan selepas ini, saya akan aktif dalam beberapa naskhah romantik. Saya tidak akan kekal dalam genre tersebut kerana lebih selesa untuk buat aksi lompat bangunan ataupun pergaduhan. 

Bukan nak tolak rezeki cuma umur saya sekarang adalah nak puaskan apa yang saya nak. Asalkan badan saya mampu buat, saya akan terus fokus genre aksi. 

Sekiranya ada kecederaan sehingga menjejaskan pergerakan, apakah perancangan seterusnya? 

Saya letak slot saya dalam genre aksi, saya tak suka campur genre. Kalau tiada tawaran lakonan pun tiada masalah. Kebanyakan orang terdesak nak tunjuk diri tetapi tiada rasa cinta. 

Kita kerja keras supaya orang ambil lagi kita berlakon. Kalau tidak boleh lakukan, jangan buat. 

Apa yang anda harapkan pada masa akan datang? 

Saya tak fikir lagi sebab saya hanya tumpukan kepada setiap saat dalam hidup. Selagi boleh bergerak saya akan buat yang terbaik. 

Orang akan lihat dan belajar daripada idola dan sebagai pempengaruh serta artis saya gunakan platform ini untuk berikan inspirasi kepada orang ramai. Ada orang kurang keyakinan tetapi selepas melihat saya, mereka ada semangat untuk lakukan.  Jadi, saya nak jadi contoh sebegitu.  

 

 

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok