KEPERCAYAAN dan keyakinan terhadap pasangan dilihat sebagai asas dalam perkahwinan yang menjadi pegangan Elina apabila menyerahkan seluruh jiwa raga buat rumah tangga.
Tidak pernah meragui kejujuran suami, Elina bagaimanapun tertipu dengan kebaikan yang ditunjukkan suami sehinggakan tidak menyangka perkahwinannya diduga dengan kehadiran orang ketiga.
Segala onak duri yang diharungi Elina demi mempertahankan perkahwinan diterjemahkan sepenuh jiwa oleh pelakon Mira Filzah dalam naskhah Curang Tanpa Niat.
Bergandingan dengan aktor Shukri Yahaya yang membawa watak sebagai Eshaal, karya arahan Eyra Rahman disifatkan membuka dimensi baharu terhadap istilah pasangan sekerja atau terkenal dengan panggilan ‘office wife’.
Demi menghidupkan watak ibu dua anak dan isteri yang menjadi mangsa kecurangan suami, Mira atau nama lengkapnya Nur Amirah Filzah Badioezaman berguru dengan aktres senior, Ellie Suriaty.
Katanya, usaha tersebut menjadi persiapan untuk mewujudkan sisi Elina dalam diri, sekali gus memahami hati wanita yang telah dianiayai oleh sandiwara hubungan sulit suami bersama rakan sekerja di pejabat.
“Dalam cerita ini saya memegang watak isteri yang ada dua anak. Elina merupakan wanita yang bekerjaya, tetapi memilih untuk menjadi suri rumah kerana fokus terhadap anak dan suami.
“Tidak dinafikan watak ini agak berat kerana banyak bermain dengan emosi dan air mata. Disebabkan itu saya berjumpa dengan Ellie Suriaty secara peribadi untuk meminta bantuannya dan belajar tentang teknik lakonan.
“Memandangkan kami sibuk, jadi persiapan hanya dibuat selama sehari, tetapi syukur nasihat dan tunjuk ajar beliau sangat membantu sebelum saya masuk ke set penggambaran,” terang memulakan bicara.
Watak
Disatukan dengan aktor Shukri Yahaya, Mira mengakui tidak mempunyai sebarang masalah dengan gandingan kali ini, sementelah Curang Tanpa Niat menjadi naskhah ketiga penyatuan mereka.
“Ini merupakan gandingan ketiga kami bersama. Sejujurnya bekerja dengan Shukri sangat mudah kerana kita sudah ada pengalaman bekerja.
“Lagi pun cerita begini yang banyak melibatkan permainan emosi dan air mata boleh dikatakan sebagai makanannya.
“Jadi kerja kita pun senang. Saya anggap bekerja dengan Shukri ini seperti bermain ping pong, di mana saya akan membalas apa yang diberi (lakonan), dan dia juga akan membalas apa yang saya beri,” terang Mira mengenai pengalaman berlakon bersama Shukri.
Selain soal keserasian lakonan, Mira ditebak tentang hubungan baik dengan rakan sekerja, terutama melibatkan individu yang sudah berumah tangga.
Baginya, setiap pasangan tidak mengira sama ada suami atau isteri perlu tahu batas pergaulan agar tidak membuka jalan untuk berlakunya kecurangan.
“Hubungan rakan sekerja itu harus profesional dan tidak melibatkan perasaan sehingga membuka peluang untuk curang.
“Kecurangan boleh dielakkan sekiranya ‘jalan’ untuk curang tidak dibuka.
“Begitu juga yang berlaku kepada Erlina dalam Curang Tanpa Niat. Dalam cerita ini Elina tidak teraniaya secara fizikal, tetapi tekanan perasaan dan kesakitan kerana sudah mengorbkan segalanya, namun itu masih belum memadai.
“Bagi saya kecurangan itu melibatkan dua orang dan sekiranya ingin menyelamatkan rumah tangga juga perlu melibatkan kedua-duanya.
“Masalah rumah tangga tidak akan selesai sekiranya hanya seorang saja yang berusaha manakala seorang lagi tidak,” katanya.
Kecurangan
Bakal ditayangkan menemui Astro Ria bermula 23 Disember ini Mira berlapang dada menerima tawaran melakonkan naskhah berat dan babak air mata.
Kata wanita berusia 31 tahun itu, tawaran watak sebegitu secara tidak langsung membuktikan kepercayaan pihak produksi terhadap kemampuannya untuk menterjemahkan emosi watak dengan baik.
Saya terbuka dalam soal tawaran berlakon. Bagi saya setiap watak diterima itu akan dibuat sehabis baik tidak mengira apa jua watak.
“Hal utamanya ialah kepercayaan dan tanggungjawab yang perlu saya lakukan dengan baik. Watak juga amanah dan kita patut lakukan sehabis baik,” jelasnya.
Ditanya tentang reaksinya apabila drama Curang Tanpa Niat akan menggantikan posisi drama Andai Tiada Dia yang mempunyai alur cerita tentang kecurangan, Mira terlebih dahulu melepaskan ketawa kecil sebelum memuntahkan pandangannya.
Drama Andai Tiada Dia lakonan Ummi Nazeera, Hisyam Hamid dan Mimi Lana menjadi antara naskhah tular dan hangat diperkatakan memandangkan kecurangan berlaku antara abang dan adik ipar.
“Ya, memang jalan cerita tentang curang itu sama dan kecurangan itu pun memang semuanya berlaku disebabkan kehadiran orang ketiga. Tetapi, dua drama ini memaparkan kisah berbeza apabila satunya melibatkan darah daging sendiri dan sebuah cerita lagi melibatkan rakan sekerja.
“Jadi, tahap kesakitan juga berbeza. Begitu juga dengan gaya penyampaian watak antara saya dengan Ummi juga berlainan. Justeru penonton akan menyaksikan perbezaan jalan cerita,” katanya.
Percaya
Melakonkan watak isteri yang berdepan kecurangan suami secara tidak langsung mewujudkan gentar dalam diri. Namun, perasaan yang terbuai dek fantasi drama tidak mampu meruntuhkan kepercayaan Mira terhadap suami sendiri, Wan Emir Astar Wan Mohammad Khair-il Anuar.
Meletakkan seluruh kepercayaan kepada suami, bagi Mira setiap pasangan perlu saling percaya antara satu sama lain.
“Apabila berlakon memang ada juga rasa takut, tetapi secara peribadi saya anggap lakonan dan realiti dua perkara berbeza.
Saya percayakan suami saya. Kami berdua tidak satukan soal kerjaya dan hal peribadi. Jadi, pada saya tidak timbul rasa kurang selesa dalam diri selepas melakonkan watak isteri dicurangi suami,” katanya.
Komunikasi juga menjadi kunci utama hubungannya dengan suami sejak mendirikan rumah tangga pada 3 September 2020.
“Suami tahu saya berlakon dalam cerita ini (tentang kecurangan). Saya sangat bersyukur kerana dia banyak memberi sokongan.
Seperti saya katakan, saya sangat percaya dan meletakkan kepercayaan kepada suami. Komunikasi sangat penting dan sebagai pasangan yang sudah berumah tangga, saya sangat mementingkan komunikasi dengan suami,” katanya.
Sepanjang empat tahun berumah tangga, Mira dan Wan Emir dikurniakan seorang cahaya mata lelaki bernama Wan Khai Amir yang berusia dua tahun
Selain Mira dan Shukri, Curang Tanpa Niat turut dibintangi oleh Sharifah Sakinah, Evertts Gomes dan Azqa Aziz.- HIBGLAM