‘Kenapa saya perlu buat ujian saringan air kencing?’

Bekas model dan usahawan Zahnita Wilson mendedahkan diminta melakukan ujian saringan air kencing oleh pihak berkuasa bagi membuat permohonan mendapatkan khidmat polis pengiring bagi menjemput dua anaknya di rumah suaminya semalam.

Menurut Zahnita atau Zahnita Dorothy Hussein Wilson, 39, berkata, dia bersetuju untuk melakukan prosedur tersebut walaupun tidak mengetahui motif sebenar dan hasil saringan adalah negatif daripada sebarang penggunaan bahan terlarang.

“Saya ada perintah mahkamah dan boleh dapatkan pengiring (polis) namun proses dan permintaan tersebut tidak berjalan lancar.

“Saya diminta melakukan ujian air kencing. Jika mereka nak, tidak mengapa dan saya buat. Tiada apa yang hendak saya sorokkan dan keputusannya negatif,” katanya dalam satu temu bual.

Dalam temu bual sama, Zahnita mendakwa terpaksa melalui halangan ketika mahu mengambil dua anak perempuannya di rumah suaminya iaitu Abdul Zackery Ghouse Abd Gafoor semalam.

Kongsinya, dua anak perempuannya masih menetap dengan Abdul Zackery selepas dia bertindak berpindah keluar dari rumah sebelum ini.

“Syukur saya dapat ambil dua anak perempuan saya semalam dan sudah mendapat hak penjagaan interim pada 6 Disember lalu.

“Sebelum ini anak-anak masih bersekolah dan saya beri ruang kepada ayah mereka untuk hantar ke sekolah.

“Keadaan semalam tidak berjalan dengan baik untuk bawa anak-anak keluar (daripada rumah suami) sebab ada halangan daripada pihak sana,” katanya lagi.

Terdahulu, Zahnita, membuat pendedahan dalam media sosial berhubung keganasan rumah tangga yang sedang dihadapinya.

Menerusi perkongsian foto dalam media sosial, pelakon itu memaparkan bukti bahagian mata kirinya dalam keadaan lebam selepas mendakwa berlaku pergaduhan bersama Abdul Zackery selepas isu orang ketiga dibangkitan.

Zahnita seterusnya memfailkan permohonan cerai terhadap Abdul Zackery di Mahkamah Rendah Syariah Kuantan, Pahang pada 3 Disember lalu.

Dia juga mendapat hak penjagaan sementara interim dari Mahkamah Tinggi Syariah, Kuantan pada 6 Disember lalu.

Manakala pada 9 Disember lalu, dia juga berjaya mendapat perintah perlindungan interim (IPO) dari Mahkamah Majistret Kuantan bagi melindungi diri dan anak-anak daripada Abdul Zackery.

Difahamkan, dia juga kini dalam proses untuk mendapatkan hak penjagaan penuh empat anaknya. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok