LAPAN tahun menanggung derita menjadi mangsa keganasan domestik, akhirnya penyanyi dan pelakon, Elliza Razak nekad menuntut cerai awal tahun ini.
Elliza atau nama lengkapnya Abdul Razak, 40, mendakwa dia pernah dipukul dengan teruk pada 2015 namun memilih meneruskan perkahwinan demi anak-anak.
12 tahun saya bertahan hidup dengannya. Bukan sahaja kena pukul tetapi saya juga perlu menanggung keluarga dan melangsaikan hutan-hutangnya bernilai berbelas ribu.
“Lapan tahun saya kerja dengan syarikat penapis air mencari duit untuk menyara keluarga. Saya tinggalkan dunia hiburan selepas melahirkan anak.
“Arwah ibu dan bapa saya sampai ke akhir hayat mereka tidak tahu saya hidup menderita. Hanya kakak saya iaitu Ellina seorang yang tahu,” katanya ketika ditemui pada majlis sambutan ulang tahun ke-17 Suria FM.
Tambah bekas peserta Akademi Fantasia musim ketiga itu lagi, apa yang membuatkan dia nekad untuk bercerai adalah apabila diugut untuk dipisahkan dengan dua anak.
“Saya diugut jangan sampai tak dapat jumpa anak-anak. Dia banyak ugut saya. Sejujurnya saya sudah penat menanggung derita.
Saya tak kisah jika impaknya hanya saya seorang tetapi apabila melibatkan anak-anak tidak boleh berdiam diri. Mental anak-anak terjejas, sampai sekarang mereka trauma.
“Anak-anak pernah lihat dia mengasari saya depan mata sewaktu dalam tempoh idah. Mereka memarahinya supaya berhenti mengasari saya,” dakwa Elliza sambil menahan sebak.
Enggan lagi menoleh ke belakang, Elliza kini mahu bangkit dan membuat kemunculan semula dalam industri hiburan yang menjadi minatnya sejak dulu.
“Saya sangat cintakan bidang seni. Kali terakhir saya berlakon 10 tahun lalu sewaktu sedang hamil anak pertama.
Tetapi saya rindukan bidang nyanyian. Bidang nyanyian yang membawa saya masuk dalam industri.
“Syukur Alhamdulillah, saya diberikan peluang untuk menyanyikan lagu tema bagi sebuah drama slot Akasia di TV3 tidak lama lagi.
Untuk rekod, Elliza dan bekas suaminya telah berkahwin pada 11 November 2011.
Hasil perkongsian hidup, mereka dikurniakan dua cahaya mata iaitu Ellisya, 10 dan Emmir, 8. – HIBGLAM