SELEPAS lebih sedekad menyepi, program realiti yang pernah menjadi fenomena, One In A Million (OIAM), akhirnya kembali dengan nafas baharu.
Sebagai satu-satunya rancangan nyanyian realiti di Malaysia yang menawarkan hadiah lumayan RM1 juta, OIAM kini hadir dengan kualiti lebih berganda.
Kali ini, pertandingan tersebut hadir dengan format baharu, lebih gempak dan peluang lebih luas untuk peserta dari seluruh negara, sama ada melalui uji bakat fizikal atau dalam talian.
Daripada lebih 5,000 penyertaan yang diterima sepanjang sesi uji bakat, hanya 100 peserta terbaik berjaya mara ke peringkat seterusnya.
Bagaimanapun, peserta Top 100 yang dipilih perlu menjalani beberapa lagi fasa saringan sebelum 12 peserta terakhir dipilih untuk berentap merebut gelaran juara.
Program ikonik yang pernah melahirkan bintang seperti Yuna, Suki Low, Ayu Damit dan Tomok itu tidak hanya sekadar menjadi platform mencari juara, malah membuka pintu kepada generasi baharu untuk membina legasi tersendiri dalam industri muzik.
‘Bukan sekadar bakat’
Pengurus Besar Kandungan TV3, Marlia Zul Amran berkata, OIAM terus menjadi medan yang meraikan pelbagai bakat unik daripada latar belakang berbeza.
Katanya, cabaran terbesar bukan hanya pada pemilihan peserta tetapi juga memastikan mereka benar-benar memanfaatkan peluang yang diberikan.
“Peserta yang hadir memang luar biasa, termasuk yang pernah bernaung di bawah syarikat rakaman. Apa yang penting adalah mereka memiliki bakat dan kesungguhan untuk menonjol.
“Program ini ruang terbaik untuk mereka menyerlah. Namun, bakat sahaja tidak cukup. Peserta perlu menunjukkan disiplin dan sikap positif, kerana itu yang membezakan artis yang kekal relevan dalam industri atau tidak,” katanya.
Lumayan
Program yang akan disiarkan secara langsung menerusi TV3 bermula 22 Disember ini hingga 9 Februari tahun hadapan dijangka bakal menggegarkan industri hiburan.
Dengan format baharu dan panel juri ternama, termasuk Datuk Yusry Abd. Halim, Ziana Zain serta penyanyi Indonesia, Cakra Khan, OIAM menjanjikan persaingan sengit dan persembahan memukau.
Tidak ketinggalan, pasangan pengacara dinamik Haniff Hamzah dan Fiza Frizzy akan mengemudi rancangan selama lapan minggu, menambahkan elemen keterujaan pertandingan.
OIAM kali ini dibawakan Calpis Soda, Peugeot, Yes5G dan Oppo sebagai penaja.
Program realiti tersebut menjanjikan hadiah lumayan bernilai RM1 juta kepada juara termasuk wang tunai RM500,000, sebuah kereta Peugeot 408 GT bernilai RM200,000, serta kontrak rakaman eksklusif selama dua tahun.
Lebih mengujakan, penonton bertuah yang mengundi peserta kegemaran turut berpeluang memenangi sebuah kereta Peugeot Landtrek setiap minggu. – HIBGLAM