SEDAR belum sepenuhnya bersedia untuk menimang anak ketiga, pelakon Amyra Rosli reda dan berlapang dada selepas berdepan keguguran kandungan yang baru mencecah usia dua minggu.
Bagi Amyra atau nama sebenarnya Nur Amira Izzati Rosli, 33, kejadian itu dilihat sebagai hikmah daripada Allah Yang Maha Mengetahui tentang perjalanan hidupnya.
Isteri kepada pelakon Amar Bahrin itu bahkan mengakui sejak mengetahui kehamilan ketiga, pelbagai kebimbangan mengganggu fikirannya terutama apabila terlibat dalam telefilem baharu berjudul Larian Terakhir yang menuntut banyak aksi lasak.
“Sebenarnya saya agak risau sejak tahu mengandung kerana naskhah ini memerlukan aksi fizikal yang mungkin berisiko untuk ibu mengandung .
“Tambahan pula, suami saya akan menunaikan ibadah haji ketika itu. Kalau saya bekerja, siapa yang akan menjaga anak-anak?
“Mungkin Allah tahu saya belum bersedia mengandung. Sebab itu saya keguguran sebelum usia kandungan mencecah lima minggu,” katanya kepada HibGlam.
Bagi pelakon drama Nur itu, insiden keguguran turut memberi hikmah tersendiri apabila dia dapat memberikan fokus sepenuhnya terhadap penggambaran naskhah Larian Terakhir.
Sebagai pelakon yang komited, Amyra percaya tanggungjawab terhadap karya seni memerlukan dirinya tampil dengan prestasi terbaik.
“Saya rasa apa yang berlaku itu ada hikmahnya. Bayangkan kalau saya masih mengandung tetapi perlu melakonkan babak aksi lasak. Itu pasti membahayakan kesihatan saya dan kandungan.
“Keadaan itu juga mungkin menyulitkan pihak penerbit kerana banyak babak perlu diubah. Sebab itu, saya sentiasa berusaha memberikan yang terbaik setiap kali bekerja,” jelasnya.
Tidak meletakkan sebarang tekanan untuk hamil lagi, Amyra menyerahkan sepenuhnya soal zuriat kepada ketentuan Ilahi.
Baginya, kehadiran dua cahaya mata, sudah cukup untuk melengkapkan kebahagiaan bersama suami tercinta.
“Itu semua rezeki Allah. Kalau diberikan zuriat lagi, Alhamdulillah. Kalau tidak, saya tetap bersyukur kerana sudah ada sepasang cahaya mata yang melengkapkan hidup saya.
“Saya lebih fokus memberikan kasih sayang sepenuhnya terhadap mereka kerana masing-masing sudah semakin besar dan mudah diuruskan.
“Kalau nak mengandung pun mestilah sebelum usia menginjak 35 tahun kerana kena fikir juga risiko kesihatan. Perlu fikirkan masa depan anak-anak, tak mahu dah berumur tapi anak masih kecil,” kongsinya.
Dalam perkembangan lain, Amyra bakal muncul menerusi telefilem aksi lasak Larian Terakhir yang akan menemui penonton pada 15 Disember ini melalui saluran Degup (Unifi TV, saluran 120).
Selain Amyra, telefilem terbabit turut dibintangi barisan pelakon ternama seperti Fattah Amin, Fahrin Ahmad, Sherie Merlis, dan Ameerul Asyraf. – HIBGLAM.