PENDEDAHAN didera ketika kecil disangkal ibu kandung, pelakon Nelissa Nizam mengakui mendapat banyak panggilan daripada ahli keluarga berhubung perkara itu.
Begitupun, Nelissa atau nama sebenarnya Nelissa Edreena Nizam, 26, berkata, hanya dapat memberikan penjelasan apabila kembali dari Sabah dalam tempoh terdekat.
“Sepanjang hari (semalam) saya banyak terima panggilan dan bercakap dengan ahli keluarga.
“Nanti saya bagi kenyataan sebab sekarang saya berada di Sabah menyertai program Jom Heboh.
“Tunggu saya pulang ke Kuala Lumpur okey,” katanya ketika dihubungi Kosmo! Online.
Khamis lalu, ibu pelakon terbabit, Ayu Manaf menyangkal kenyataan yang dibuat Nelissa mengenai penderaan yang dikatakan dilalui pelakon tersebut ketika kanak-kanak.
Bahkan wanita berusia 49 tahun itu mengakui hubungan dengan keempat-empat anaknya juga dingin dipercayai disebabkan dirinya berkahwin baharu selepas bertahun-tahun menjadi ibu tunggal.
Dakwa Ayu, kenyataan dikeluarkan anak keduanya itu mencetuskan salah faham ramai sedangkan hakikatnya dia yang berdepan keganasan domestik, bukan Nelissa.
Sebelum ini, pelakon berusia 26 tahun itu membuat pengakuan sukar membawakan watak membabitkan keganasan dalam drama Bawah Payung Awan disebabkan trauma lampau. -HIBGLAM