Intan Najuwa rimas dituduh abaikan kebersihan barangan bayi

Pelakon Datin Intan Najuwa meluahkan rasa kurang senang terhadap segelintir netizen yang mempersoalkan tahap kebersihan barangan bayi yang bakal dilahirkan tidak lama lagi.

Menurut Intan atau nama penuhnya Intan Najuwa Abdul Wahid, 27, dia telah memastikan semua pakaian dan keperluan bayinya dibersihkan sepenuhnya sebelum digunakan.

“Baju bayi semua saya sudah hantar ‘dry clean’, cuci bersih-sebersihnya. Kalau nampak tanda harga, itu sebab sesetengah tempat cuci akan tanggalkan dan pasang semula selepas mencuci.

“Saya juga sudah asingkan pakaian untuk usia tiga hingga enam bulan, kerana baju itu belum akan digunakan sekarang.

“Sebenarnya saya tidak perlu beri penjelasan panjang lebar tetapi ada sahaja antara kalian yang cakap itu ini, melampau!” ujarnya menerusi hantaran Instagram Story.

Tambah pelakon drama Setelah Ku Dimiliki itu juga, dia turut mengambil langkah tambahan dengan membersihkan keseluruhan rumahnya termasuk menyanitasi kawasan kediaman sebelum menyambut kelahiran bayinya.

“Bukan sekadar baju, bilik dan seluruh rumah saya juga sudah dipanggil orang untuk bersihkan siap sanitasi sekali sebelum bawa bayi masuk.

“Kalau bercakap tentang kebersihan, mungkin awak semua tidak tahu betapa saya sangat menitikberatkan perkara ini.

“Kadang kadang soalan macam kita ini benak ubi sangat tak tahu pasal benda asas. Okay sekian membebel.
Terima kasih,” tutupnya.

Intan yang kini sedang menunggu hari kelahiran anaknya berharap agar netizen lebih memahami dan tidak terlalu cepat membuat tanggapan negatif.

Untuk rekod, Intan mendirikan rumah tangga dengan ahli perniagaan, Datuk Ahmad Asraf, pada 18 Ogos 2023. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok