‘Ini kebebasan buat saya, anak-anak’ – Zahnita dapat perintah perlindungan interim

BEKAS model dan pelakon, Zahnita Dorothy Hussein Wilson tidak dapat menahan sebak sebaik keluar dari Mahkmah Majistret Kuantan selepas mahkamah membenarkan permohonannya untuk mendapat perintah perlindungan interim (IPO).

Keputusan itu diputuskan Majistret Wahida Zainal Abidin dalam prosiding yang diadakan di Mahkamah Majistret Kuantan di sini hari ini.

IPO merupakan peruntukan dalam Akta Keganasan Rumah Tangga 1994 bagi memberi perlindungan perundangan sementara untuk mangsa, anak-anaknya dan saudara maranya.

Pada 5 Disember lalu, suami Zahnita, Abd. Zackery Ghouse Abd. Ghani, 46, didakwa di Mahkamah Majistret Kuantan atas pertuduhan mencederakan bekas pelakon tersebut.

Perintah mahkamah itu bagi menghentikan suami Zahnita daripada meneruskan kelakuan ganas terhadap mangsa.

Zahnita ketika ditemui sebak di atas keputusan yang diputuskan Mahkamah Majistret tersebut.

“Ini merupakan kebebasan buat saya dan anak-anak,” katanya yang mempunyai empat anak berusia 12, lapan, tujuh, dan empat tahun.

Prosiding berkenaan turut dihadiri Abd. Zackery Ghouse yang diwakili peguam Muhammad Amirull Afiqq Mohamad Lokman.

Peguam Zahnita, Datuk Zaharman Zainal Abidin berkata, pihaknya memohon IPO daripada mahkamah di bawah Seksyen 5, 6, dan 7 Akta Keganasan Rumah Tangga 1994.

Jelasnya, IPO itu bagi melindungi Zahnita daripada terus menjadi mangsa keganasan rumah tangga.

Menerusi IPO ini, suami Zahnita yang sudah pun didakwa di mahkamah di bawah Seksyen 323/326 Kanun Keseksaan dan Seksyen 15 (1) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 tidak boleh menghampiri mangsa dalam tempoh ditetapkan,” katanya.

Terdahulu, Zahnita, membuat pendedahan dalam media sosial dirinya menjadi mangsa keganasan rumah tangga.

Menerusi foto yang dimuat naik dalam Instagram miliknya, Zahnita memaparkan bukti mata kirinya lebam yang didakwa telah dipukul Abd. Zackery selepas bertanya mengenai kewujudan orang ketiga dalam rumah tangga mereka.  – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok