HILANG empat tawaran pekerjaan susulan lima hari mendapatkan rawatan di hospital akibat keletihan melampau, penyanyi Adira Suhami mengakui insiden tersebut menjadi pengajaran kepadanya untuk lebih peka menjaga kesihatan.
Menurut Adira, pengalaman tersebut membuka matanya agar mendapatkan rehat secukupnya selain mengetahui tahap kemampuan bahawa dia bukanlah adiwira yang boleh melakukan apa sahaja.
“Melihat kondisi yang lemah, doktor cakap selain demam dan kurang sel darah merah, faktor keletihan melampau turut menjadi punca saya pengsan.
Selama ini saya sangka saya ‘supermom’ yang boleh buat apa sahaja serentak kerana kalau cuti sehari pun, saya mahu uruskan anak-anak sendiri. Sebenarnya, selain ke hospital untuk melahirkan empat anak, saya tidak pernah duduk dalam wad.
“Kudrat saya ada, cuma badan tak mampu lagi hadap keletihan. Jadi selepas ini saya pastikan hari cuti saya berehat. Kalau saya tak sihat, saya tak boleh jaga anak-anak,” katanya yang mempunyai seorang pembantu rumah dan seorang pengasuh.
Berasa ralat kerana telah mengecewakan banyak pihak, Adira atau nama sebenarnya Siti Adira Suhaimi, 33, bagaimanapun bersyukur penganjur memahami keadaan kesihatannya.
Memang ralat kerana kecewakan banyak pihak termasuk orang yang mengundang serta tetamu. Empat ‘job’ yang terpaksa dibatalkan ini sudah dipersetujui beberapa bulan lalu.
“Saya sendiri tak sangka pengsan sampai buatkan semua ahli keluarga menangis dan risau. Mujur pihak yang saya bekerjasama sangat memahami, maafkan saya,” katanya ketika ditemui pada majlis makan malam Elegant Night of Beauty, semalam.
Bercerita lanjut, penyanyi lagu Pujaan Hati itu mendedahkan dia mula sedar ketika berada dalam ambulan yang membawanya ke sebuah pusat perubatan di Petaling Jaya.
Saya tak ingat apa-apa ketika kejadian. Apabila buka mata saya sudah ada dalam ambulan. Perasaan takut memang ada, lagipun itu pertama kali saya naik ambulan,” ujarnya.
Pada 4 Disember lalu ibu kepada empat cahaya mata itu berkongsi keadaan dirinya yang dikejarkan ke hospital selepas pengsan di rumahnya. – HIBGLAM