BIARPUN industri muzik tempatan meriah dengan kehadiran kumpulan wanita sejak kebelakangan ini, XONE yang dianggotai Ellya Keesha dan Nelysa Kay yakin mereka mempunyai keunikan tersendiri.
Meskipun ada membandingkan mereka dengan kumpulan wanita lain yang lebih popular seperti Dolla, XONE berlapang dan bersedia dengan segala kritikan.
“Kami faham selepas menjadi selebriti setiap apa yang dilakukan termasuk pakaian, vokal dan kehidupan peribadi pasti menjadi perhatian.
“Jadi, kami tidak kisah kerana itu adalah lumrah dalam dunia seni. Sudah ini jalan kami pilih dan inilah minat kami, suka atau tidak harus dijalani dengan berani,” ujar Ellya.
Bertepatan dengan konsep single terbaharu mereka berjudul Langgar yang dilancarkan baru-baru ini, XONE menegaskan, mereka menyeru gadis-gadis di luar sana untuk menjadi lebih berani dan bangkit dalam menghadapi segala cabaran.
“Lagu Langgar membawa mesej keberanian dan kebetulan sama seperti kami berdua yang sedang menongkah arus untuk membawa muzik M-pop (Pop Melayu).
“Mungkin ada yang tidak senang melihat imej punk kami, tetapi inilah diri kami. Bagi kami asalkan tidak melanggar batasan dan etika pemakaian, walau dikritik kami okey sahaja,” luah Nelysa.
Serasi
Sementara bercakap tentang keserasian, jelas XONE mereka berdua sudah bersahabat selama 14 tahun iaitu sejak berusia tujuh tahun.
“Saya faham kalau kumpulan pasti tidak kekal lama, tetapi kami berkawan sejak kecil jadi sudah menjadi rakan baik dan saling memerlukan antara satu sama lain.
“Tipulah jika kami tidak pernah bergaduh, tetapi kebiasaannya kami akan berbincang untuk mencari jalan penyelesaian jika timbul sebarang isu,” tutur Ellya.
Disebabkan itu, mereka berdua tidak terfikir untuk menambah ahli baharu bagi melengkapkan XONE kerana bimbang soal keserasian.
“Hubungan kami terlalu rapat, jika ada ahli baharu saya bimbang kami sukar untuk serasi. Ketika bersekolah kami ada menubuhkan kumpulan, tetapi disebabkan jadual yang sibuk saya rasa lebih mudah untuk bergerak berdua sahaja,” ulas Ellya lagi.
Dalam pada itu, Ellya dan Nelysa yang merupakan pelajar kolej dan universiti tetap meneruskan pelajaran mereka meskipun sibuk dengan kerjaya seni.
“Paling penting kami harus bijak membahagikan masa. Alhamdulillah, dengan sokongan keluarga dan rakan-rakan setakat ini kami tidak berdepan dengan sebarang masalah.
“Bagi saya ketika muda kita harus mencuba apa sahaja yang ingin dilakukan tetapi dalam masa sama teruskan pelajaran supaya memiliki masa depan yang lebih terjamin,” terang Nelysa.
Lagu Langgar ciptaan komposer terkenal, Audi Mok dan Shazee Ishak telah pun dilancarkan di semua platform digital sejak 29 November lalu. – HIBGLAM