Ibu Scha meninggal dunia, AC Mizal sendirian kendali FFM33

KUALA LUMPUR – Festival Filem Malaysia ke-33 (FFM33) yang berlangsung malam ini diselubungi suasana hiba apabila pengacara bersama, Scha Alyahya tidak dapat hadir kerana kehilangan ibu tercinta, Junainah Hashim, yang meninggal dunia, pagi tadi.

Pengacara utama, Datuk AC Mizal, yang tampil solo di pentas FFM33 memaklumkan berita sedih itu kepada penonton.

Saya sepatutnya mengacara bersama Scha malam ini, namun kami telah menerima khabar duka. Ibunya telah kembali ke rahmatullah.

“Salam takziah buat Scha sekeluarga,” ujarnya.

Berita pemergian Allahyarham Junainah Hashim turut disahkan suaminya, Awal Ashaari menerusi satu hantaran dalam Instagram.

Dengan dukacita, saya memaklumkan ibu mentua saya, Junainah Hashim, telah menghembuskan nafas terakhir pada jam 9.40 pagi tadi di Hospital Pantai, Kuala Lumpur,” tulisnya

Menurut Awal, jenazah telah dimandi dan disolatkan di Masjid Al-Hidayah, Kampung Sungai Penchala, Taman Tun Dr Ismail selepas solat Asar sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Bukit Kiara.

Dalam hantarannya, Awal turut memohon doa agar roh ibu mentuanya ditempatkan dalam kalangan orang beriman.

“Ya Allah, ampunilah dia, kasihanilah dia, sejahterakan dia dan ampunilah dosa serta kesalahannya,” tambahnya.

Scha dan keluarganya menerima ucapan takziah daripada rakan artis serta peminat yang mendoakan agar mereka terus tabah menghadapi kehilangan besar ini.

FFM33 diteruskan seperti biasa dengan AC Mizal menggalas tanggungjawab sebagai pengacara tunggal sepanjang acara berlangsung. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok