MAHU penyampaian watak lebih berkesan dalam naskhah The Trunk, pelakon Seo Hyun-jin mengakui terpaksa menurunkan berat badan sehingga empat atau lima kilogram.
Kata aktres berusia 39 tahun itu, transformasi fizikal sebegitu terpaksa dilakukan demi menjayakan watak No In-ji, seorang wanita yang menyimpan penderitaan mendalam.
“Saya tidak menimbang berat badan secara khusus, tetapi saya tahu tubuh saya lebih kurus daripada biasa. Tulang leher saya sangat menonjol malah menjadi topik perbincangan hangat penonton.
“Semua ini demi watak, saya ingin memastikan setiap adegan tampil dengan realistik tanpa mengecewakan sesiapa.
“Pada saya, setiap karakter hadir dengan cerita tersendiri, sebagai pelakon, saya perlu mendalami dan menguasai semua itu agar penyampaian berkesan di hati penonton,” ujarnya dalam satu rancangan temu bual.
Siri tersebut menerima sambutan baik penonton meskipun beberapa babak kontroversi mengundang kritikan namun gandingan Seo Hyun-jin tetap mencuri perhatian memperkukuh kedudukan mereka sebagai pelakon serba boleh dan berpengaruh.