‘Hubungan kami baik’ – Sharif Zero mohon maaf jaja aib Atu

DIDAKWA sengaja menjaja aib saudara sendiri, pelawak Sharif Zero tampil memohon maaf kepada adiknya, Atu, susulan tindakannya berkongsi kisah silam darah dagingnya itu dalam sebuah audio siar, baru-baru ini.

Menurut Sharif atau nama sebenarnya Sharif Kadir Doli Sharif, 34, niatnya bercerita tentang pengalaman hidup Atu termasuk isu gejala dadah dan kehidupan gelandangan bukan untuk mengaibkan sesiapa sebaliknya mahu memberi inspirasi kepada orang ramai.

“Tindakan saya bercerita tentang perkara itu adalah dengan niat mahu beri inspirasi kepada orang lain.

Jika Atu rasa perkongsian itu membuka aibnya, saya memohon maaf. Dia berhak bersuara dan saya tidak salahkannya.

“Apa pun, saya bangga dengan dirinya yang sekarang. Dia sudah berjaya,” katanya kepada HibGlam

Tidak bermasam muka, Sharif menegaskan hubungan antara mereka tetap baik malah mengakui Atu masih menghubunginya seperti biasa.

“Selepas podcast itu tular, hubungan kami baik sahaja dan tiada masalah. Atu masih berhubung dengan saya seperti biasa.

Sebelum ini kami pernah berada dalam satu podcast bersama, tiada apa-apa isu pun, malah kami saling bergurau. Cuma mungkin podcast kali ini saya seorang dan Atu tiada di situ.

“Cerita yang saya kongsikan pun berasal daripada Atu sendiri, tidaklah sampai hati mahu burukkan adik sendiri,” jelasnya lagi.

Sebelum ini, Sharif mendedahkan dalam podcast tersebut bahawa Atu pernah melarikan diri dari kampung halaman mereka di Sabah untuk berhijrah ke Kuala Lumpur.

Namun, Atu terpaksa menjalani kehidupan gelandangan kerana ketiadaan wang.

Kata Sharif, Atu pernah nyaris terjerumus dengan gejala dadah akibat salah memilih rakan, sehingga hampir hilang harapan meneruskan kehidupan. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok