KETIKA ada yang mahu tahun 2024 segera berlalu ‘ditiup’ pergi segala rasa. berbeza halnya buat dua bintang iaitu Trisha Ooi dan Hisyam Hamid.
Melakar kejayaan tersendiri, kedua-duanya mampu tersenyum puas melihat kanvas kerjaya seni lakonan masing-masing pada tahun ini.
Masakan tidak, satu demi satu naskhah lakonan mereka berjaya meledak tahun ini. Tidak keterlaluan sekiranya melabel mereka pelakon yang sukses tanpa perlu menjaja atau mencipta kontroversi murahan.
‘Trofi penutup indah’
Anggun dalam persalinan dres hitam rekaan Abu Shaef Hamza, Trisha tidak kekok sepanjang digandingkan dengan Hisyam yang merupakan hero drama pertamanya iaitu My Lovely Driver.
Merangkumkan tahun 2024 sebagai 365 hari yang manis, Trisha bersyukur melihat kerja kerasnya sebagai pelakon sejak dua tahun lalu membuahkan hasil.
Lebih membanggakan, pemilik nama penuh itu Reyshqa Aqiera Mohd. Nasron Ooi berjaya merangkul trofi Pelakon Wanita Harapan pada Festival Filem Malaysia ke-33 (FFM33) baru-baru ini menerusi filem Janna Endoro.
Ketika ada aktres yang berjuang mengejar trofi, dia sendiri tidak menyangka dengan anugerah tersebut malah menganggap sebagai ‘bonus tahunan’ untuk kerjaya seninya.
“Trofi itu ibarat penutup indah tahun ini, kemenangan yang tak pernah disangka. Tidak salah untuk rasa bangga dengan pencapaian sendiri, cuma tidak mahu terlalu terleka sebab anugerah ini ibarat satu tanggungjawab besar untuk saya pada masa akan datang.
“Saya sendiri tak kejar anugerah sebab semua kerja seni saya lunaskan tanggungjawab dengan ikhlas dan minat yang mendalam,” katanya kepada HibGlam.
Jika diselak lembaran portfolionya sebagai pelakon, Trisha merupakan antara selebriti wanita yang masih ‘bebas’ daripada terkait dengan sebarang kontroversi atau gosip panas.
Sedar situasi tersebut, wanita berusia 25 tahun itu bersyukur namanya masih bersih daripada calitan cerita sensasi.
“Sebenarnya saya memang sangat menjaga diri daripada terkait dengan sebarang cerita negatif. Bukan mengelak tetapi selagi boleh dijauhkan, saya cuba kawal.
“Jaga itu mungkin dari segi pergaulan dan pemakaian. Siapa yang tak mahu imej bersih, cuma saya enggan cakap besar risau tiba-tiba semua itu berbalik pada diri sendiri,” jelasnya.
Tekanan
Tambah Trisha, dia mengakui anugerah yang dimenangi memberi tekanan namun enggan menabur sebarang janji manis kepada peminat.
“Tekanan sebenarnya trofi ini. Menang anugerah memang seronok tetapi pastinya ramai harap saya akan beri hasil kerja lebih baik selepas ini.
“Saya tak mahu janji bulan bintang, insya-Allah saya akan usaha beri lebih bagus kelak,” tuturnya memulakan kerjaya sebagai pelakon lagak ngeri sekitar tujuh tahun lalu.
Dalam masa sama, anak kelahiran Kuala Lumpur itu berkata, dia masih selamat daripada kecaman dan kata-kata negatif daripada netizen.
Kendatipun, dia tidak terlepas daripada menerima respons negatif mengenai lakonannya daripada pelakon senior, namun menerima kritikan tersebut sebagai satu bentuk proses pembelajaran.
“Dahulu saya pernah dapat komen daripada pelakon senior yang mengatakan lakonan saya tiada jiwa.
“Saya terima dengan hati terbuka dan sejak itu memang belajar untuk pastikan lakonan ada ‘rasa’. Komen sebegitu membantu saya jadi lebih baik, tak perlu rasa sedih atau kecewa,” jelasnya.
Ditanya tentang apa lagi yang diimpikan, bintang filem Pagari Bulan itu hanya mahu bakatnya terus diterima baik dalam industri seni tanah air.
“Sejujurnya saya harap kemenangan tempoh hari membuka mata lebih banyak pihak tentang kewujudan saya dalam industri. Harap tidaklah nama saya sepi selepas kemenangan itu.
“Dahulu ada orang cakap, kalau cepat popular, pasti cepat turun. Kalau boleh tak mahu begitu sebab sudah berikan seluruh jiwa untuk kerjaya ini.
“Secara jujur, saya takut juga dengan populariti yang mencanak, tetapi saya yakin dengan rezeki Tuhan,” ujarnya yang mahu dikenali sebagai pelakon versatil.
‘Saya tak layak’
Berbeza pula dengan pelakon kelahiran Singapura, Hisyam Hamid yang sememangnya mengidamkan anugerah yang menilai dari segi kualiti lakonannya.
Meskipun sudah meraih beberapa anugerah berkaitan populariti tetapi Hisyam tetap mahu memburu trofi pelakon terbaik sebelum bersara dari dunia lakonan.
“Secara peribadi saya pernah menang anugerah berkaitan populariti tetapi kalau boleh nak anugerah dari sudut penilaian kualiti lakonan.
“Tapi saya kena sedar juga banyak anugerah di Malaysia yang saya tak layak kerana hanya terbuka kepada warganegara Malaysia.
“Saya faham memang sangat terhad tetapi sebagai pelakon memang saya letakkan harapan sebelum bersara sekurang-kurangnya ada anugerah pelakon terbaik, setelah 11 tahun dalam industri seni Malaysia.
Dalam masa sama, lelaki berusia 39 tahun itu tetap bersyukur apabila naskhah lakonannya pada tahun ini semuanya membuahkan hasil apabila mendapat sambutan luar biasa daripada khalayak.
Awalnya, Hisyam muncul dengan watak autisme dalam drama Bunga Salju dan kemudian cemerlang dalam drama Andai Tiada Dia memegang karakter antagonis.
Ibaratnya, sepanjang 2024 ini nama Hisyam tidak pernah ‘sepi’ dek penangan atau keberkesanan watak dalam drama yang memberi dambak luar biasa kepada penonton.
Gembira dengan penerimaan baik, Hisyam menganggap pengorbanan yang dicurahkan sepanjang penggambaran membuahkan hasil apabila orang ramai memberikan respons positif.
“Dari segi karier, saya agak bertuah apabila kedua-dua naskhah lakonan saya diterima baik iaitu Bunga Salju dan Andai Tiada Dia.
“Sebenarnya orang mungkin tak perasan, sudah dua tahun saya tak berlakon untuk terbitan Astro. Kira saya buat kemunculan semula menerusi Bunga Salju.
“Rasa seronok dan bersemangat apabila penat lelah berbaloi sebaik karya kita dapat sambutan ramai,” ujarnya.
Selain lakonan yang menjadi tumpuan umum, bapa kepada dua orang anak itu juga tidak dapat lari daripada kontroversi panas.
Biarpun lebih gemar menutup rapat kisah peribadi, khabar angin tentang keruntuhan mahligai cinta yang dibina 20 tahun lalu bersama Rosmawati Hanafi sudah berkecai terjawab apabila aktor filem La Luna itu membuat pengesahan status perceraiannya sekitar pertengahan tahun ini.
Gembirakan anak
Meskipun terpaksa melalui episod duka lara, Hisyam tetap mahu memandang ke hadapan demi kesenangan anak-anak dan ibunya.
“Rasa 2024 ini bermula dengan satu detik agak berat dan pahit dalam hidup saya kerana perceraian. Saya nekad dalam diri bahawa tahun ini nak bangkit semula.
“Saya memang niat mahu buat kerja bukan untuk diri sendiri tetapi untuk anak-anak dan ibu saya supaya dapat bagi keselesaan kepada mereka.
“Saya pula jenis letak target dalam hidup. Tahun ini memang nak kerja keras untuk bawa anak-anak bercuti ke luar negara kerana sebelum ini paling jauh mereka pergi pun Kuantan sahaja.
“Jadi, tahun ini saya nak melalui semua pengalaman pertama dan cipta kenangan dalam hidup bersama mereka,” jelasnya.
Transisi daripada seorang suami kepada duda sememangnya memberikan kelainan dalam kehidupan Hisyam dan dia masih menyesuaikan diri menguruskan kerjaya dan keluarga secara solo.
“Memang tak dinafikan ada rasa sunyi sebab dahulu selalu ada orang kat sebelah. Sekarang semua kena buat sendiri.
“Kadang-kadang stres juga sebab banyak kerja tetapi secara keseluruhan saya boleh mengendalikan.
“Kalau down sangat saya telefon anak-anak untuk dapatkan semangat balik,” jelasnya.
Berkongsi lanjut, Hisyam berharap 2025 akan memberi sinar baharu.
“Untuk 2025, sebagai manusia pasti nak jadi lebih baik. Kalau sudut karier, saya nak cuba projek yang tidak pernah buat.
“Dari segi peribadi pula, saya nak berjinak-jinak dalam perniagaan. Cuba bidang lain dan berharap dapat bahagikan masa buat dua kerja.
“Perniagaan pun perlukan masa dan tenaga, jadi saya risau fokus terhadap banyak sangat ada benda yang terabai,” ungkapnya menutup bicara. -HIBGLAM