TIADA angin tiada ribut, nama penyanyi Lee Areum sekali lagi meledak apabila secara terbuka berkongsi kemelut rumah tangganya dalam sosial media.
Mana tidaknya, bekas anggota kumpulan T-ara itu secara terbuka mendedahkan perbualan mesej pergaduhannya dengan suami.
Dalam tangkap layar tersebut, si suami menuduh dia melakukan penderaan terhadap anak-anak mereka.
Tidak cukup dengan itu, lelaki terbabit turut menuduh Areum mengambil minuman keras ketika sedang hamil.
Menempelak segala tuduhan tidak berasas, wanita berusia 30 tahun itu juga menyifatkan kehidupannya tidak bahagia bersama suami.
“Jika saya ambil minuman beralkohol ketika hamil, bagaimana anak kita boleh lahir dalam keadaan sihat seperti sekarang.
“Hidup dengan awak bagaikan dalam neraka,” luahnya.
Areum juga berkongsi tangkap layar perbualannya bersama bapa mentua namun lelaki berkenaan mengambil pendekatan tidak campur tangan urusan rumah tangga mereka.