PRIHATIN dengan nasib sahabat baiknya iaitu Along Cham, pelakon dan pengacara Didie Alias meminta orang ramai menghormati proses siasatan polis terhadap kes melibatkan pelawak itu.
Malah, Didie atau nama sebenarnya Fadzilah Mohd Ali, 52, berharap tiada lagi penyebaran sebarang spekulasi liar bagi menjaga perasaan keluarga Along.
“Tolonglah hentikan (spekulasi), siapa tahu, dia tahu. Benda masih dalam siasatan.
Kita jaga nama dan aib dia serta keluarganya. Saya bukan nak membela sesiapa, cuma jangan dibesar-besarkan perkara ini.
“Lagipun benda dalam siasatan. Doakan semoga urusan dia dipermudahkan, saya tak nak besar-besarkan isu ini,” katanya semasa majlis pelancaran produk Conboo di Royal Chulan, baru-baru ini.
Selain itu, Didie turut memohon orang ramai menghormati privasi penggiat seni.
Tolong hormati kami dan industri hiburan,” ujarnya pendek.
Sebelum ini, Along atau nama sebenarnya, Muhammad Nizamuddin Ahmad, 41, didakwa dengan dua pertuduhan miliki ganja di dua mahkamah berasingan membabitkan ganja seberat 58.23 gram (g) dan 2.07g.
Pelawak itu disyaki memiliki dadah berbahaya jenis kanabis anggaran berat 58.23g di sebuah rumah di Cyberjaya pada 14 Disember lalu.
Bagaimanapun, Along mengaku tidak bersalah bagi setiap pertuduhan. – HIBGLAM