KALAU tak tahu cerita jangan minta wanita bersabar atau cakap kena fikir anak-anak.”
Itu peringatan pelakon Diana Danielle buat individu yang meminta isteri teraniaya agar tidak buka mulut mengenai kisah perit rumah tangga demi menjaga aib.
Mengakui terkesan dengan penderitaan ditanggung bekas peragawati dan pelakon Zahnita Wilson, Diana atau nama sebenarnya Diana Danielle Danny Beeson, 33, berkata, stigma sedemikian yang membuatkan mangsa penderaan rumah tangga terus terpa
Kenapa kena fikirkan antara aib dengan bangkit untuk perjuangkan hak sendiri? Ramai tak faham kerana seakan ada kekeliruan di situ. Sepatutnya apabila ditindas atau dizalimi, kita berhak bersuara tetapi ramai yang masih tak faham.
“Masyarakat masih berpandangan apa sahaja cerita negatif tentang ahli keluarga atau kawan-kawan tak perlu diceritakan sedangkan orang yang jadi mangsa perlukan sokongan.
Namun, akhirnya apa yang mereka nak luahkan terpotong di situ kerana adanya stigma menjaga aib dalam kalangan masyarakat,” ujarnya lagi.
Pada masa sama, pelakon Imaginur itu turut meluahkan rasa lega apabila Zahnita menggunakan media sosial sebagai platform membongkar penderaan dilaluinya.
Kata Diana lagi, jangan sampai episod penganiayaan membawa kepada masalah mental kepada mangsa dan anak-anak atau lebih teruk mengakibatkan tragedi kehilangan nyawa.
“Mereka hanya ingin mendapatkan pembelaan serta mahu masalah mereka didengari sebelum kejadian lebih buruk hingga mengakibatkan berlakunya kehilangan nyawa.
Masyarakat sering berpandangan wanita harus bersabar, sekalipun menjadi mangsa keganasan rumah tangga kerana yakin akan ada sinar bahagia. Mereka juga sering dinasihatkan supaya perlu banyak berdoa dengan harapan satu hari nanti suami akan berubah, tetapi itu sepatutnya dihentikan.
“Perubahan tersebut perlu datang daripada individu yang melakukannya kerana kezaliman hanya akan berhenti bila si pelaku berhenti,” katanya menerusi sebuah audio siar.
Menjawab pertanyaan mengenai kisah rumah tangga disensasikan, Diana tidak menafikan perkara tersebut dan mengakui rata-rata cuma lakukan hanya untuk melangsungkan kehidupan baharu.
“Ada yang buat begitu mungkin sebab itu cara untuk membuka rezeki mereka kerana saya nampak kebanyakan wanita memang ke arah itu.
Bila mereka sudah menjadi suri rumah terlampau lama hingga sanggup ketepikan ijazah dan kerjaya demi memberi perhatian kepada rumah tangga, mereka tidak lagi memiliki pendapatan.
“Jadi apabila nak bercerai mereka perlu ada strategi bagaimana nak teruskan kehidupan selepas itu memandangkan sebelum ini bergantung kepada suami.
Kita tidak boleh tengok hanya pada permukaan kenapa mereka buat begitu tetapi kena fikir mereka juga ingin cari makan,” kongsinya.
Awal minggu ini, Zahnita mengejutkan ramai dengan memuat naik foto menampakkan matanya lebam dan mendakwa dipukul suaminya selepas bertanya tentang kehadiran orang ketiga.
Menurut Zahnita, dia mendedahkan kesengsaraan itu selepas tidak lagi mampu bertahan hidup dalam hubungan toksik. – HIBGLAM