Hadir tanpa harapan, pulang bawa trofi emas

MALAM penuh gemilang Festival Filem Malaysia ke-33 (FFM33) menyaksikan Jack Tan, bintang filem Abang Adik, mencuri perhatian apabila dinobatkan sebagai Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik.

Berlangsung di Auditorium Seri Angkasa, Angkasapuri Kuala Lumpur, kemenangan Jack bukan sahaja menepati ramalan ramai, malah melakar satu lagi pencapaian bermakna buat industri perfileman tempatan.

Ketika nama diumumkan sebagai pemenang, riuh tepukan bergema di dewan, membuktikan kemenangan pelakon berusia 33 tahun ini mendapat sokongan padu audiens.

Jack berjaya menundukkan pesaing lain seperti Syafiq Kyle (Sheriff), Wan Azli (Pagari Bulan), Sharnaaz Ahmad (Polis Evo 3), dan Kahoe Hon (Victims).

Namun, di sebalik kejayaannya, jejaka tampan itu hadir ke acara tersebut tanpa sebarang jangkaan untuk menang.

Ujarnya, kehadirannya hanya sekadar menyokong industri seni tanah air, namun takdir membawa kisahnya ke arah lebih manis.

Jack turut meluahkan rasa syukur atas penghargaan yang diberikan terhadap usahanya sepanjang hampir sedekad bergelar anak seni.

“Saya tidak pernah terfikir untuk menang trofi ini. Saya terbang dari Taiwan petang tadi (kelmarin) semata-mata untuk memberi sokongan kepada FFM33 tanpa mengharapkan sebarang kemenangan.

Namun, kemenangan ini benar-benar mengejutkan dan sangat bermakna bagi saya. Saya berterima kasih kepada juri, pihak produksi Abang Adik dan FFM atas kemenangan ini.

“Semua ini buatkan saya teringat pengalaman pertama kali hadiri FFM pada lapan tahun lalu menerusi filem pertama saya Shuttle Life,” katanya.

KEMENANGAN yang diraih menerusi filem Abang Adik cukup bermakna buat Jack malah berterima kasih kepada semua pihak yang menghargai bakatnya.

Harapan ke Oscar

Filem Abang Adik, yang bakal mewakili Malaysia ke Anugerah Akademi ke-97 itu membuktikan keunggulan di tanah air dengan meraih lima trofi termasuk kategori Pengarah Harapan, Lakon Layar Terbaik, Rekaan Kostum/Busana Terbaik, dan Tatarias/Solekan Terbaik.

Filem arahan Jin Ong ini mengetengahkan kisah kehidupan dua beradik, Abang (Kang Ren Ju), seorang individu kelainan upaya, dan Adik (Jack Tan) yang saling melengkapi meskipun hidup tanpa status warganegara.

Naratif kekeluargaan penuh emosi itu berjaya menyentuh hati penonton, mengukuhkan Abang Adik sebagai karya seni luar biasa.

Mengulas tentang Abang Adik yang bakal bersaing di pentas Oscar, Jack menyifatkan perkara tersebut sebagai satu pencapaian besar buat industri filem tempatan.

“Saya gembira Abang Adik terus melangkah lebih jauh. Naskhah ini masih lagi panjang perjalanannya.

Siapa tahu, mungkin ada rezeki untuk mencipta sejarah di Oscar. Apa pun, saya sangat bersyukur atas setiap peluang ini,” katanya penuh harapan.

Dengan tema dan mesej yang kuat, kejayaan filem ini di FFM33 membuka lembaran baharu buat karya tempatan di mata dunia.

Abang Adik bukan sekadar sebuah filem, tetapi simbol perjuangan dan harapan buat pemain filem alternatif atau ‘indie’ tanah air.

JACK bukan sahaja menepati ramalan ramai, malah melakar satu lagi pencapaian bermakna buat industri perfileman tempatan. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok