PENTAS akhir Famili Duo musim keempat (FD4) melabuhkan tirai dengan kemenangan manis pasangan adik-beradik Shiha Zikir dan Ieda Zikir yang berjaya dinobatkan sebagai juara.
Lebih istimewa, kemenangan itu menjadi momen bermakna buat Shiha, apabila dia mengumumkan bahawa FD4 adalah penyertaan terakhirnya dalam arena pertandingan realiti televisyen.
Ujar wanita berusia 37 tahun itu, pencapaian tersebut merupakan kejayaan yang menamatkan pencariannya selama ini.
“Saya sudah banyak sertai program nyanyian realiti sebelum ini dan sudah keluarkan semuanya ‘senjata’ yang saya ada.
Buat masa ini, FD4 adalah penyertaan terakhir saya dalam program realiti tapi saya tak tahu lagi apa akan jadi dalam tempoh 10 tahun akan datang.
“Ini juga kali pertama saya pegang trofi juara selepas sekian lama. Penutup yang sangat baik,” katanya kepada HibGlam
Bersama kakaknya, Ieda Zikir, mereka membawa pulang hadiah wang tunai RM100,000 selepas memikat hati juri menerusi persembahan bertenaga dengan lagu Doktor Cinta (Dewi) dan Mentera Semerah Padi (Datuk M. Nasir).
Persembahan serasi dan mantap duo adik beradik itu berjaya memukau juri dan menerima pujian melambung selain ‘standing ovation’.
Pemenang Persembahan Terbaik Anugerah Juara Lagu ke-37 (AJL37) itu tampil berani dengan aksi silat yang dipelajarinya dalam tempoh singkat malah mengakui menolak lapan tawaran kerja bagi memberi fokus penuh kepada pertandingan.
Saya buat latihan silat sampai menangis sebab terlalu penat. Setiap hari berlatih selepas diumumkan masuk final sehingga badan lebam. Tapi malam tadi (hujung minggu lalu), saya lupakan semua kesakitan.
“Saya juga sanggup tolak lapan tawaran kerja sepanjang FD4 kerana mahu beri komitmen penuh.
“Bila menyertai program sebegini saya tak pernah fikir soal duit, apa yang penting rasa puas membuat persembahan,” dedahnya.
Pelantun lagu Irama itu juga merancang untuk terus aktif dalam industri seni sambil memperluaskan peranan di belakang tabir, termasuk sebagai pengarah muzik video.
Saya masih aktif mengeluarkan lagu-lagu baru selain sekarang ini lebih banyak terlibat dengan kerja belakang tabir malah saya sudah beberapa kali menjadi pengarah video muzik penyanyi lain.
“Saya juga mahu cari bakat baharu yang mempunyai semangat juang sama seperti saya. Masuk industri ini bukan sekadar mahu popular, tapi perlu usaha keras untuk berjaya,” ujarnya.
Sementara itu, duo sepupu Ayie dan Salma meraih tempat kedua dengan hadiah wang tunai RM30,000 dan trofi, manakala tempat ketiga dimenangi Tomok dan Shahrul Kamal yang membawa pulang wang tunai RM20,000 serta trofi.
Terdahulu, enam pasangan dipilih untuk bertanding dalam program realiti kekeluargaan selama lapan minggu, namun tiga daripada duo terbabit tersingkir pada peringkat separuh akhir.
Berkonsepkan kalah mati bersaing hingga minggu ketujuh iaitu peringkat separuh akhir menyaksikan penyingkiran duo sepupu Didi Astillah dan Thamiera, disusuli duo adik beradik Zahid dan Anne serta duo Naqiu dan Joey (sepupu).
Program lapan episod tersebut memilih pemenang mingguan bersandarkan pemarkahan juri sebanyak 80 peratus, manakala undian dalam talian menerusi Tonton membabitkan 20 peratus markah.
Persaingan FD4 yang bersiaran sejak 15 Oktober lalu menyaksikan Mas Idayu dan Datuk Rosyam Nor sebagai juri tetap, manakala Janna Nick bersama Sharif Zero bertindak selaku hos. – HIBGLAM