PERCAYA dengan takdir Tuhan, pelakon Fazura mengakui terbuka untuk mendirikan rumah tangga sekali lagi andai dikurniakan jodoh terbaik buat dirinya.
Pun begitu, Fazura atau nama sebenarnya Nur Fazura Sharifuddin, 41, menegaskan fokus utamanya kini adalah anak perempuannya, Nur Fatima Aisya selain perniagaan yang diusahakan.
“Doakan saya, walaupun sekarang sudah single, saya fokus kepada Fatima dan kerjaya.
“Tapi mudah-mudahan jika ditakdirkan ada jodoh lagi, semoga yang baik-baik dan terbaik untuk saya dan Fatima. Doakan okey!
“Kita tunggu jodoh sama-sama nanti ya, mudah-mudahan,” katanya menerusi siaran langsung dalam TikTok, baru-baru ini.
Perkongsian itu dibuat selepas pelakon filem J-Revolusi itu menerima pujian daripada seorang netizen yang menyifatkan wajahnya kelihatan berseri seperti mahu bernikah semula.
Momen itu turut menarik perhatian netizen yang rata-rata mendoakan kebahagiaan janda satu anak itu.
“Semoga Fazura dipertemukan dengan jodoh terbaik, seorang lelaki yang boleh menjaga hati awak dan Fatima,” komen seorang pengguna TikTok.
“Dia cantik, berdikari dan kuat demi anaknya. Kalau ada jodoh nanti, pasti yang terbaik,” tulis netizen.
Sebelum ini, Fazura mengumumkan bahawa dia telah selesai menjalani tempoh idah selepas sah bercerai dengan aktor Fattah Amin pada 7 Oktober lalu.
Fazura dan Fattah mendirikan rumah tangga pada 27 November 2017 sebelum berpisah secara baik di Mahkamah Rendah Syariah Petaling, Subang Bestari, Selangor.
Hasil perkahwinan itu, mereka dikurniakan seorang cahaya mata perempuan, Nur Fatima Aisya yang kini berusia empat tahun. – HIBGLAM.