Emmett Butterfingers nikah lagi

VOKALIS Butterfingers, Emmett mendirikan rumah tangga dengan wanita pilihannya, Nadira Hanum Akbar Shah pada 1 Disember lalu.

Khabar gembira itu dikongsi Emmett atau nama sebenarnya, Emmett Roslan Ishak, 47, menerusi hantaran dalam Instagramnya.

“Alhamdulillah,” tulisnya ringkas pada ruangan kapsyen yang disertai emoji sebentuk cincin.

Menerusi foto itu, terserlah wajah gembira pasangan pengantin yang menggayakan persalinan sedondon serba putih.

Begitupun, penyanyi dan komposer terbabit tidak memperincikan butiran majlis pernikahan mahupun resepsi mereka.

Menerusi ruangan komen, ramai rakan serta peminat Butterfingers menitipkan ucapan tahniah kepada pasangan mempelai.

“Tahniah daripada Popshuvit dan EAR,” tulis laman rasmi kumpulan Popshuvit.

“Alhamdulillah, semoga perkahwinan ini berkekalan sehingga ke akhir hayat,” kata seorang kenalan.

Akaun media sosial rasmi Butterfingers turut menzahirkan rasa gembira dengan penyatuan Emmett dan Nadira.

Pasangan pengantin turut merakamkan momen hari bersejarah mereka bersama rakan terdekat di masjid yang dipercayai lokasi pernikahan mereka.

“Selamat pengantin baharu Emmett Roslan Ishak. Semoga inderaloka berkekalan bahagia ke anak cucu,” tulisnya.

Sebelum ini Emmet pernah mendirikan rumah tangga dengan wartawan hiburan sebuah akhbar berbahasa Inggeris dan dikurniakan dua cahaya mata.

Begitupun, pasangan terbabit menyimpan kemas kehidupan peribadi mereka bersama anak-anak.

Dia juga pernah berhijrah ke Kanada bersama keluarganya pada 2003 selama enam tahun bagi menyambung pengajian sebelum kembali ke tanah air. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok