‘Dulu ‘best’ sangat, staf peramah, kini semua berubah’

BERDEPAN layanan kurang mesra, penyanyi Datin Alyah meluahkan rasa terkilan apabila perkhidmatan di sebuah hotel yang pernah dikunjungi sebelum ini tidak seperti dijangkakan.

Bukan mengharap ditatang, Alyah atau nama sebenarnya Noor Hasliah Abu Hassan, 43, berkata, kehadirannya sebagai pelanggan bagai tidak dihargai apabila berdepan riak wajah petugas barisan hadapan yang kurang menyenangkan.

“Dulu hotel ini best sangat, staf dia semua peramah. Lama sudah tak datang sini, datang balik semua berubah.

Penginapan itu macam tidak berbayar pula rasa daripada riak wajah yang menyambut.

“Aku terlebih sensitif ke? Atau format kerja bahagian perkhidmatan sudah berubah?” katanya menerusi perkongsian dalam Instastory.

Begitupun, penyanyi lagu Sesal Separuh Nyawa itu tidak mendedahkan nama hotel tersebut sebaliknya hanya menunjukkan pemandangan sekitar.

Menerusi semakan, difahamkan Alyah berada di selatan tanah air bagi memenuhi undangan persembahan untuk sebuah majlis persendirian.

Pada masa sama, isteri kepada maestro muzik Datuk Ramli MS itu berkata, dia bukan mendambakan layanan VVIP, namun hanya mengharapkan bantuan kakitangan terbabit ketika diperlukan.

“Dunia-dunia, tak minta dilayan macam raja cukuplah berikan layanan yang membantu dan menyenangkan.

“Kalau apa-apa yang kita minta tak ada, tak apa memahami tapi sekurang-kurangnya berilah kata maaf dan wajah yang menyenangkan,” ujarnya.

Terdahulu Alyah antara selebriti yang kerap berkongsi hantaran dalam media sosial terutama berkaitan aktiviti seni, isu semasa serta perkembangan anak angkatnya, Nur Izzara. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok