Duduk atas riba Nelissa bukan adegan panas tapi lucu – Hariz Hamdan

PELAKON Hariz Hamdan mengharapkan orang ramai tidak tersalah tafsir adegan duduk di atas riba Nelissa Nizam dalam filem terbaharu lakonannya, Sahak Gangster.

Hariz atau Muhammad Hariz Muhammad Hamdan, 22, berkata, adegan lucu tersebut dilakukan secara profesional berdasarkan kehendak skrip dan pengarah naskhah itu, Dr. Ahmad Idham.

Meskipun kelihatan agak keterlaluan, jejaka berusia 22 tahun itu menetapkan batas antara dirinya dengan Nelissa.

“Ya memang ada babak itu. Bagi saya itu salah satu babak lucu yang ada dalam filem ini dan bukanlah adegan panas untuk  menarik perhatian penonton. Dalam babak itu watak Suriani (lakonan Nelissa) terkena serangan panik ketika memandu.

Bagi menyelamatkan keadaan saya ambil alih dengan cara menurunkan kerusi dan biarkan dia dalam keadaan berbaring, kemuduan saya duduk di atas ribanya untuk meneruskan pemanduan. Saya melakonkan adegan itu mengikut jalan cerita dan arahan pengarah. Boleh bayangkan bagaimana keadaannya.

“Babak itu dibuat secara profesional dan hanya lakonan semata-mata. Bagi saya itu tidak keterlaluan melainkan satu adegan lucu sahaja,” katanya kepada HibGlam.

Dalam pada itu Hariz tidak menafikan babak tersebut dilihat ada persamaan adegan yang ditayangkan di beberapa buah filem luar negara seperti My Wife Is A Gangster 3 dan Singh Is Bliing.

Ya babak seperti itu ada dalam beberapa buah filem lain di luar negara. Tetapi bagi saya lebih baik saya atas riba dia daripada dia yang atas riba saya.

“Pada saya itu adalah salah satu daripada kreativiti pengarah iaitu Ahmad Idham kerana beliau mempunyai banyak pengalaman mengarahkan cerita komedi dan aksi. Beliau juga mempunyai banyak idea untuk membuatkan filem ini menarik,” katanya.

Melakonkan watak sebagai Sahak dalam filem tersebut, Hariz berkata, adegan terbabit merupakan salah satu babak kejar mengejar apabila Sahak dan Suriani memandu kereta untuk melarikan diri daripada sekumpulan penjenayah.

Selain Hariz dan Nelissa, filem Sahak Gengster terbitan Millennium Megamas yang akan ditayangkan pada 9 Januari 2025 itu turut dibintangi Yana Samsuddin, Usop Wilca, Mamak Puteh, Razak Ahmad, Chiwan Raja Lawak, Azlan Komeng, Acong Sweetchild dan Datuk Ahmad Tarmimi Siregar. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok