Donnie Yen kembali beraksi dalam The Prosecutor

LEBIH gembira menjadi pekerja belakang tabir sebagai pengarah dan penerbit, namun atas permintaan ramai, pelakon aksi terkenal Hong Kong Donnie Yen kembali dengan sebuah filem aksi, The Prosecutor.

Menurut Donnie Yen meskipun filem aksi adalah ‘makanannya’ tetapi dia mengambil masa selama tiga bulan sebelum bersetuju untuk terlibat dalam filem ini.

“Pada mulanya saya teragak-agak untuk terlibat dalam filem ini kerana filem bergenre mahkamah sudah banyak dipertontonkan sama ada dalam drama mahupun filem.

“Oleh itu, saya mengambil masa untuk membuat kajian, selain diyakinkan oleh pihak produksi. Sebagai pembikin filem saya mahu memberi satu persembahan berbeza meskipun genre mahkamah adalah sesuatu yang biasa.

Tambahan kes yang diambil dalam filem ini berdasarkan kisah benar jadi, tanggungjawab untuk menghasilkan sebuah karya yang memberi inspirasi adalah sesuatu yang cukup berat,” kata Donnie Yen.

Mengalas tiga tugas serentak iaitu sebagai pelakon, pengarah dan penerbit dalam filem The Prosecutor tidak mudah.

Sungguhpun begitu, kerana minat yang mendapat dan rasa tanggungjawab untuk menghasilkan karya berkualiti tinggi menjadikan semua momen sukar itu sesuatu yang indah.

“Saya telah lama bekerja di belakang tabir, kali pertama saya menjadi pengarah adalah pada tahun 1996. Bekerja di belakang tabir adalah jiwa saya, tetapi atas kehendak pasaran saya masih berlakon di depan kamera.

“Walaupun penat dan kehabisan tenaga saya menikmati setiap momen mencipta karya ini. Saya menjadi orang pertama sampai di set penggambaran dan merupakan orang terakhir pulang.

“Tidak habis di situ, saya akan berkampung pula di bilik penyuntingan. Sudah terbukti untuk menghasilkan karya berkualiti tinggi pelakon sendiri yang akan menjadi penerbit contohnya, Tom Cruise dan Brad Pitt,” ujar Donnie.

Berbicara tentang aksi, pelakon yang terkenal dengan filem Ip Man itu menyakinkan bahawa penonton bakal menyaksikan sesuatu yang berbeza.

Bahkan tegasnya, walaupun telah berada di usia emas, kualiti aksinya masih sama seperti dahulu.

“Aksi sudah menjadi dna saya, apabila bekerja secara automatik badan saya akan berada dalam mode tertentu. Sepanjang menjadi pelakon terdapat banyak kecederaan yang dialami berserta dengan pengalaman.

“Pada usia sekarang saya masih boleh melakonkan semua aksi lagak ngeri sendiri dan dengan pengalaman yang ada menjadikan babak sukar lebih mudah.

“Penonton akan melihat sesuatu yang berbeza dalam filem ini. Banyak adegan aksi yang belum pernah dilakukan saya buat khas untuk filem The Prosecutor,” tuturnya dalam temubual secara dalam talian baru-baru ini.

Karya berasaskan kisah benar ini mengisahkan tentang seorang pendakwa raya yang menyiasat kes membabitkan banduan yang berdepan dengan tuduhan mengedar dadah.

Percaya tertuduh tidak bersalah, Donnie berjaya membongkar rancangan jahat sekumpulan peguam yang cuba menutup kes tersebut

Filem The Prosecutor yang turut menampilkan pelakon hebat Hong Kong seperti Julian Cheung, Michael Hui, Francais Ng, Pak Hon Chu dan Kent Cheng bakal menemui penonton di pawagam bermula 21 Disember ini. – HIBGLAM

 

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok