‘Doakan misi lancar’ – Fouziah Gous redah banjir bantu penduduk Kelantan

PRIHATIN nasib mangsa banjir di Kelantan, pelakon Datin Fouziah Gous bersama pasukan Tengkujuh Ranger Rauhah turun padang bagi menyalurkan sumbangan barangan keperluan kepada penduduk yang terjejas.

Memasuki hari kedua misi bantuan, Fouziah atau nama lengkapnya Nor Fouziah Mohd. Gous, 41, mengharapkan barangan keperluan tersebut dapat diagihkan kepada penduduk di tiga buah kampung di Machang.

“Hari ini masuk hari ke dua, kalau boleh kita ingin pergi ke tiga kampung yang terjejas teruk akibat banjir iaitu Kampung Kok Kiak, Kampung Limau Nipis dan Kampung Ayer Merah.

Kalau boleh kami mahu lori yang membawa barangan sumbangan tidak akan membawa pulang apa-apa kerana kami ingin pastikan setiap sumbangan dapat sampai dengan selamat kepada mangsa.

“Ini adalah tanggungjawab besar buat kami dan diharapkan kalian dapat mendoakan misi bantuan ini berjaya. Walaupun perancangan dibuat pada saat akhir iaitu selama dua hari, tetapi Allah permudahkan segala urusan dan terima kasih juga kepada anggota sukarelawan yang membantu,” katanya dalam video menerusi Instagram.

Pada masa sama, pelakon filem 2 Hati 1 Jiwa itu turut berkongsi tentang persediaan yang dilakukan pasukan Tengkujuh Ranger Rauhah bagi mengagihkan sumbangan yang difahamkan dapat meringankan beban 149 keluarga terjejas akibat banjir.

Dalam pada itu, Fouziah mengharapkan masyarakat mendoakan kesejahteraan mangsa agar diberikan kekuatan dan kesabaran saat diuji dengan musibah banjir.

“Saya mengharapkan kalian mendoakan misi bantuan ini lancar. Doakan agar cuaca juga dalam keadaan baik dan mendoakan semoga mereka yang ada di sini tidak duduk dalam ketakutan.

Apabila hujan saja, mereka mula berasa takut dan bimbang. Sejujurnya saya sendiri pun berasa bimbang dan takut apabila setiap kali hujan. Saya mendoakan semua yang terkesan akan pulih sepenuhnya. Pulih semangat untuk bangkit kembali. Doa saya untuk kalian semua,” katanya.

Terdahulu, Fouziah bersama anggota sukarelawan telah memberikan sumbangan barangan keperluan asas seperti makanan, pakaian, tuala wanita, pampers kanak-kanak, tuala, pakaian dalam wanita dan wang tunai di empat buah kampung di Tumpat, Kelantan.

Antara lokasi terlibat ialah Kapung Naga Ibu, Kampung Sawa Luar, Kampung Sawa Dalam dan Kampung Kuala Jambu. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok