Digelar jalang hanya kerana lakonan

PERTAMA kali wajahnya muncul di layar perak pada 2010 menerusi filem Lagenda Budak Setan, khalayak saling berteka-teki tentang identiti pemain watak Ayu dalam naskhah ikonik itu.

Lebih menjadi persoalan apabila dia bergandingan dengan aktor,  Farid Kamil di samping menggantikan karakter Ayu yang sebelum itu dilakonkan Datin Lisa Surihani.

Seiring masa berlalu, wajah yang sebelumnya asing itu menjadi ‘kelaziman’ dilihat di kaca televisyen sehinggalah penonton mewujudkan justifikasi khusus buat aktres cantik bernama Shiqin Kamal.

Tidak dinafikan pesona yang dimiliki Shiqin atau nama lengkapnya Nur Ashiqin Mohd. Kamal disifatkan memenuhi piawaian untuk menyandang watak sebagai perampas, perosak rumah tangga atau lebih glamor seorang penyondol.

Disebabkan terlalu kerap membawakan watak sebegitu membuatkan Shiqin berhasrat untuk meredakan kemarahan penonton seketika. Masakan tidak, siaran drama rantaian yang berepisod panjang mampu membuka ruang buat khalayak mencemuh dirinya.

“Selalunya drama ini bersiaran lebih 20 ke 30 episod. Penonton mempunyai banyak masa untuk membenci watak jahat itu. Jadi,  bayangkan lepas satu per satu membawakan watak jahat, lama-lama penonton tidak boleh membezakan yang mana ‘drama’ dengan realiti.

“Saya berdepan seorang wanita yang mengakui sangat membenci saya kerana dianggap jahat. 

“Apabila membawa watak jahat, saya kerap menerima mesej di sosial media sehingga ada yang memanggil perempuan jalang. Perkara yang paling saya marah apabila mereka mengaitkan keluarga dan menyentuh soal fizikal,” luahnya bersungguh-sungguh.

SELAMA 10 tahun bergelar pelakon, sudah bermacam-macam karakter dijayakannya termasuklah menjadi perempuan jalang.

Biarpun dilempar dengan cercaan, Shiqin mengakui tidak membenci audiens. Tetapi, apa yang dikesalkan ialah tindakan netizen yang sanggup ‘singgah’ ke  laman sosialnya semata-mata untuk melempiaskan kemarahan mereka. 

“Ya saya tahu penonton marah dengan watak, tetapi tolonglah hanya libatkan watak dan bukan tentang diri saya. Awalnya dirasakan perkara itu lumrah sebagai pelakon dan dianggap sebagai reaksi penonton sahaja.

“Tetapi apabila sudah terlalu kerap dan ada kata-kata yang tidak masuk akal membuatkan saya rasa terkilan dengan tindakan mereka. 

“Ya, boleh beri komen dan marah pada watak, tetapi saya hanya melakonkan watak itu dan jangan samakan apa yang dilihat di kaca televisyen dengan dunia nyata,” pintanya dengan nada yang lembut.

Mungkin kerana melihat raut wajah Shiqin punya ‘kualiti’ wanita penggoda bersama bentuk mata galak, membuatkan orang menyifatkan dirinya seorang yang garang dan sombong. 

Walhal, dia mempunyai sisi lemah lembut dan ritma suara manja yang mampu membuatkan segala perhatian ditumpahkan sepenuhnya kepada dia.

Guru lakonan

Cukup bercerita tentang kecaman, Shiqin yang bakal muncul dengan filem terbaharu bertajuk Reversi memberikan dimensi baharu terhadap kerjaya lakonannya.

Gelora emosi yang ditonjolkan dalam filem itu mampu membuka ruang untuk wanita berusia 33 tahun itu meraih pujian dan perhatian. Jelas, peluang yang diberikan oleh pengarah Adrian Teh tidak disia-siakan.

Bergandingan dengan  pemenang anugerah Pelakon Lelaki Terbaik Festival Filem Malaysia ke-33 (FFM33), Beto Kusyairy mencetuskan getar dalam dirinya. 

Bukan kerana takut, tetapi desak hati dan keinginan untuk memberikan yang terbaik, membuatkan Shiqin melakukan pelbagai persediaan untuk menghidupkan roh Sarah dalam dirinya.

“Apabila tahu akan bergandingan dengan pelakon hebat, saya memang agak tertekan. Apabila mendapat skrip, saya berasa kurang yakin kerana tidak percaya kalau boleh melakonkan watak baik. Bolehkah saya meyakinkan orang yang saya mampu melakonkan watak baik dalam naskhah sehebat ini.

“Mereka yang berlakon ini semuanya sudah berpengalaman dan kita tidak tahu apa yang mereka lakukan untuk watak. Jadi saya fikir yang terbaik untuk memasuki kelas lakonan dengan Cikgu Fatimah Abu Bakar. Beliau dipilih kerana selepas mengambil kira beberapa perkara, saya pilih dia sebab saya seorang yang lembut,” katanya. 

Menurut Shiqin, menuntut ilmu daripada Fatimah bukan sesuatu yang mudah kerana semua itu perlu dilaksanakan dengan cermat. 

“Hari pertama masuk kelas, saya rasa sakit kepala. Maklum tidak pernah belajar sebelum ini. Kemudian hari kedua dan seterusnya saya semakin baik, dan selepas beberapa hari sebelum masuk set saya sudah bersedia untuk penggambaran,” ujarnya seraya tersenyum.

Lagaknya tidak ubah seperti pelajar yang ingin mengambil Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) iaitu cemas dan gusar sekiranya gagal meraih keputusan cemerlang.

“Sampai saja di set, saya sediakan skrip yang sudah ditandakan dengan beberapa warna bagi membezakan garis masa cerita sebelum, semasa dan selepas. 

“Saya juga sediakan nota sendiri yang menjelaskan tentang emosi dan perwatakan Sarah selepas apa yang berlaku dalam hidupnya.

“Saya juga membuat kajian sendiri terutama untuk menjayakan babak melahirkan bayi. Disebabkan dalam filem Lagenda Budak Setan saya dikecam teruk kerana babak itu. Jadi, kali ini saya cuba untuk memberikan yang terbaik dan enggan mengulangi kesilapan sama,” katanya.

Shiqin bakal muncul dengan filem yang dinantikan ramai, Riversi bergandingan dengan aktor hebat, Beto Kusyairy.

Beto Kusyairy

Terus petah bercerita, pemilik zodiak Sagitarius itu sedar sangkala lebih 10 tahun bergelar anak seni belum pernah diberi kesempatan untuk bergandingan dengan aktor yang bakat lakonannya cukup luar biasa seperti sosok bernama Beto. 

Apabila tahu sahaja dirnya ‘dijodohkan’ dengan lelaki itu, wujud rasa gentar dan gemuruh, sementelah Reversi membuka peluang untuknya bergandingan pertama kali dengan aktor hebat itu.

“Pertama kali kami berjumpa sewaktu bacaan skrip. Terus terang beliau adalah aktor yang baik kerana memberi saya peluang untuk berdiri di sebelah dia dan tidak pernah membiarkan saya ‘sendirian’.

“Waktu itu juga Beto datang kepada saya dan kami berbual. Banyak yang kami bincangkan tentang watak dan persediaan sebelum menjayakan babak. Adakah perlu latihan dahulu atau bagaimana.

“Bagi saya, orang sehebat itu mula berbual dan bertanyakan kepada kita, maknanya dia bukan seorang yang kedekut ilmu. Sebagai pelakon baharu pula, saya perlu memberikan yang terbaik kerana peluang hebat seperti ini tidak mungkin akan datang lagi kalau ditolak. Jadi, saya tidak kisah untuk melakukan apa sahaja asalkan dapat melakonkan watak dengan baik.

“Sekiranya perlu belajar, ya saya akan terus belajar. Pada masa akan datang walaupun diberikan watak komedi, saya tetap akan memasuki kelas kerana dengan cara itu saya dapat belajar banyak perkara dan tidak hanya terpuruk dengan tanggapan sendiri,” terangnya optimis.

Dengan nada suara teruja dan riak ceria, jelas sekali Shiqin selesa berguru dengan aktres Fatimah yang sudah membintangi banyak naskhah hebat.

Sedikit tentang Reversi, filem tersebut berkisarkan tentang Akid (Beto) yang mempunyai kelebihan sebagai pengembara masa, berusaha untuk mengubah takdir hidupnya.

Pelbagai usaha cuba dilakukan kerana yakin dirinya mempunyai cara tersendiri untuk menewaskan masa dan mengembalikan semula insan penting dalam hidupnya iaitu Sarah dan Anas.

Selain Shiqin dan Beto, Reversi turut dibintangi oleh Hasnul Rahmat, Vanidah Imran, Azhan Rani, Zahiril Adrim, Qi Razali dan Amyza Aznan.

Reversi diterbitkan ACT 2 Pictures, Clover Films, Golden Screen Cinemas dan K-Movie Entertainment bakal memulakan tayangkan pada 19 Disember ini. 

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok