‘Dia lihat saya dari atas sana’ – Semangat bapa kekuatan Zahnita

SAYA berada di tempat yang bapa saya ingini.”

Demikian perkongsian bekal model dan pelakon Zahnita Wilson mengenai insan tersayang, Allahyarham Hussein Wilson yang menjadi antara kekuatannya untuk nekad keluar daripada kehidupan sengsara bersama suami.

Biarpun bapanya tiada lagi di sisi, semangat lelaki terbabit membuatkannya kembali kuat.

Hanya kapsyen ringkas, hantaran yang menunjukkan mereka bergambar bersama ketika dirinya masih kanak-kanak membawa 1,001 makna, sekali gus mengundang perhatian pengikut Instagram.

Momen yang dirakam dalam studio bersama bapanya itu turut disertai tiga lagi adik-beradik lain serta ibu mereka, Janeiyah Ghazali.

Rata-rata pengikut menyatakan anak perempuan sentiasa menjadi puteri buat si bapa walaupun sudah dewasa.

Bahkan ramai menyuarakan rasa sayu melihat gambar yang menunjukkan Zahnita disayangi dan dijaga dengan baik sejak kecil namun berdepan sengsara selepas mengahwini Abd Zackery Ghouse Abd Gafoor pada 2005.

Bahagianya keluarga ini. Comel sangat Zahnita waktu kecil. Tak sangka anak dari kecil dibesarkan dengan kasih sayang apabila besar pindah ke jantan tak guna bergelar suami yang mendera,” tulis seorang netizen.

“Anda wanita yang baik dan tidak sepatutnya dilayan sebegitu oleh suami,” kata pengikut lain.

“Bapa awak mesti sedih awak diperlakukan sedemikian kalau dia masih ada. Moga awak mendapat kehidupan lebih baik,” ujar seorang lagi peminat.

Sebelum itu, dalam sebuah wawancara dalam TikTok, dia merasakan keputusan diambil keluar dari rumah selepas bertahun-tahun menanggung sengsara dikasari suami turut mendapat sokongan arwah bapanya.

Dalam nada sebak, Zahnita percaya bahawa insan disayanginya itu akan sentiasa menyuntik semangat kepadanya biarpun allahyarham tiada di sisinya.

Ketika saya buat pai, kadang kala saya menangis dan saya boleh dengar suara bapa saya yang mengatakan, ‘awak boleh lakukannya’.

“Saya tahu bapa lihat saya dari atas sana,” kongsinya dalam nada sebak.

Terdahulu, pendedahan pelakon filem Kuliah Cinta itu yang berkongsi foto mata lebam akibat dipukul suaminya membawa kepada penahanan lelaki terbabit.

Selain membuat permohonan cerai, Zahnita turut mendapatkan perintah perlindungan interim (IPO) yang merupakan peruntukan dalam Akta Keganasan Rumah Tangga 1994 bagi memberi perlindungan perundangan sementara untuk mangsa, anak-anak serta saudara maranya.

Bersama suaminya yang dikahwini hampir dua dekad lalu, mereka dikurniakan empat cahaya mata. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok