‘Dia antara insan disayangi Allah, bertenanglah’ – Azhan Rani

Pelakon Azhar Rani menjadi antara rakan artis yang memberi sokongan kepada aktor Jay Iswazir selepas dia bercerai dengan bekas isteri, Azzahra Ahmad.

Azhar atau nama lengkapnya Azhan Abdul Rani, 48, mengakui menghubungi teman baiknya itu untuk bertanya khabar dan kata-kata semangat.

“Saya ada menghubungi dia dan kami berbual. Saya memberikan kata-kata semangat sebagai seorang rakan. Insya-Allah dia antara insan disayangi Allah, jadi dia tahu berada di landasan (kehidupan) yang mana.

“Saya menghubungi dia untuk mengetahui bagaimana keadaannya sekarang. Alhamdulillah dia berada dalam keadaan baik.

“Tetapi apa saya boleh kata harap beri dia masa dan ruang untuk bertenang. Apabila tiba masanya nanti, saya yakin dia akan memberi jawapan,” katanya kepada HibGlam.

Azhar yang ditemui dalam majlis tayangan perdana filem Reversi di sini kelmarin turut menasihati rakannya itu agar tidak berdiam diri terlalu lama.

“Nasihat saya untuk Jay, kalau boleh tenangkan diri dan lapangkan fikiran sebelum memberi jawapan. Bimbang kalau nanti beri jawapan ketika fikiran celaru akan makan diri sendiri.

“Lagi pun perkara yang berlaku seperti hal rumah tangga ini kita tidak boleh jangka. Terus terang saya agak terkejut apabila mendapat tahu yang kawan saya sendiri berdepan dengan hal rumah tangga.

“Maklum saja sekarang ini seperti musim orang cerai-berai. Kalau boleh saya tidak mahu perkara begitu berlaku kepada kawan saya. Tetapi, siapalah kita untuk menolak takdir,” katanya.

Terdahulu, isteri Jay iaitu Azzahra Ahmad memaklumkan sudah bercerai dengan Jay selepas dua tahun mendirikan rumah tangga.

Jay dan Azzahra mendirikan rumah tangga pada 20 Mac 2022. Azzahra juga sebelum ini mendakwa telah menjadi mangsa keganasan rumah tangga – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok