MENCURI perhatian lolos dalam senarai Top 5 Pelakon Pembantu Wanita Terbaik Festival Filem Malaysia ke-33, Elizabeth Tan menyifatkan pencalonan tersebut sebagai bukti tidak menjadikan lakonan sebagai karier tempelan semata-mata.
Sering terlihat ceria dan manja, pencalonan hasil lakonannya watak antagonis dalam filem Sheriff: Narko Integriti kali ini juga satu kemenangan awal yang cukup bermakna buat bintang tinggi lampai itu.
Elizabeth, 31, berkata, apa yang diraih hasil lakonan dalam filem arahan Syafiq Yusof itu juga sesuatu yang di luar jangkaan.
“Saya tak sangka watak antagonis yang saya lakonkan dalam Sheriff akan meninggalkan kesan mendalam kepada penonton dan juri.
Sebagai pelakon, saya selalu ingin mencabar diri untuk keluar dari zon selesa dan watak ini memberi saya peluang untuk berbuat demikian.
“Jujurnya pencalonan ini sangat bermakna kerana ia tanda industri mengiktiraf saya sebagai seorang pelakon dan menjadi impian saya selama ini. Ramai orang masih melihat saya sebagai seorang penyanyi dan menganggap lakonan ini sekadar suka-suka, tetapi pencalonan ini adalah satu pengiktirafan yang saya juga sebenarnya seorang pelakon,” katanya.
Pelantun lagu Semua Sudah itu juga menyifatkan pencalonan kali ini sebagai satu penghormatan besar, apatah lagi bersaing dengan nama-nama hebat dalam industri filem.
Saya sangat kagum dengan pelakon lain dalam kategori ini. Semuanya hebat-hebat belaka dan berada dalam kalangan mereka adalah sesuatu yang saya hargai.
“Empat calon lain mempunyai kelebihan tersendiri dan saya akui sangat kerdil untuk berdiri sebaris mereka. Menang atau kalah saya tidak mahu ambil kisah kerana apa yang lebih penting adalah meraikan kejayaan setiap pemenang pada penganjuran kali ini,” katanya.
Mengetengahkan tema Evolusi Sinema Malaysia atau FFM 33 akan bersiaran secara langsung pada 7 Disember ini dari Auditorium Seri Angkasa, Angkasapuri, Kuala Lumpur. – HIBGLAM