'Bukan sebab saya artis pejabat tanah cepat buat kerja'

‘Bukan sebab saya artis pejabat tanah cepat buat kerja’

ISU pertindihan pemilikan tanah yang dihadapinya ibu pelakon Amar Baharin, Norhayati Abd Aziz sejak 13 tahun lalu akhirnya diselesaikan secara baik.

Menurut Amar, selepas membuat laporan dan mengadakan perbincangan dengan pihak Pejabat Tanah dan Galian, Selangor, ibunya bakal menerima tanah ganti di kawasan yang sama iaitu di Semenyih.

“Buat masa ini saya sedang menunggu tanah yang bakal diganti untuk ditukar sepenuhnya atas pihak kerajaan sebelum diserahkan kepada ibu sebagai tanah gantian.

“Masalah ini telah selesai dan pihak pejabat tanah telah terangkan secara terperinci kepada kami bagaimana perkara ini boleh terjadi. Tidak ada kes polis dan tidak ada sebarang kes rasuah,” jelas Amar.

Sungguhpun begitu, Amar atau nama sebenarnya, Amar Mohd Baharin, 39, berkata, pihaknya tidak boleh menghebahkan secara terperinci tentang isu tanah tersebut selepas dia dan keluarga bersetuju menandatangani satu surat perjanjian.

“Sebab itu saya ambil pendekatan berdiam diri, tetapi pihak pejabat tanah telah mengambil tindakan sewajarnya.

“Apapun disebabkan liputan media yang diterima atas isu tanah ini sedikit sebanyak telah membuka mata pihak atasan terhadap masalah-masalah rakyat yang banyak berlaku sekarang ini,” ujarnya.

Amar bagaimanapun menolak dakwaan disebabkan statusnya sebagai selebriti, dia mendapat layanan istimewa dan masalahnya diselesaikan dengan segera.

“Saya tidak rasa sebab saya artis, saya mendapat layanan yang cepat. Walhal masalah tanah dihadapi ibu saya sudah berlarutan selama berbelas tahun

“Bagi saya itu bukan isunya. Tindakan mungkin lambat kerana mereka tidak pergi ke saluran yang betul untuk selesaikan masalah. Kalau ikut langkah demi langkah dan salurannya masalah boleh diselesaikan,” tutur Amar yang ditemui usai sidang media drama bersiri Berbahagi Suami, semalam.

Terdahulu media melaporkan Amar menuntut penjelasan Pejabat Tanah dan Galian Selangor berhubung kes tanah milik ibunya di Semenyih yang dikesan dikeluarkan geran kepada orang lain secara tidak sah.

Dalam perkongsian yang dibuat dalam media sosial, Amar mendedahkan keluarganya menyedari masalah tersebut ketika bapanya masih hidup apabila meninjau kawasan tanah untuk diusahakan.

Mereka sekeluarga terkejut apabila mendapati sebuah rumah telah dibina di situ. Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari memaklumkan tanah tersebut telah diratifikasi semula dan ini bukan kes yang pertama.

Kebanyakan kes yang berlaku disebabkan segala butiran tanah direkodkan secara manual sebelum ini.

Pengarah Pejabat Tanah dan Galian Selangor, Datuk Dr. Yusri Zakariah berkata, semua pemilik tanah di kawasan berkenaan telah dipanggil untuk sesi pendengaran termasuk ibu Amar.

Yusri memberitahu, isu melibatkan ibu Amar berpunca dari segi teknikal membabitkan pertindihan hak milik antara beberapa pemilik tanah di kawasan tersebut. – HIBGLAM.
Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok