‘Buat-buat pegang tangan’ – Harissa diganggu pelakon miang bercucu

PELAKON baharu yang semakin meningkat naik, Harissa Adlyn mengakui pernah diganggu lelaki miang termasuklah aktor yang sudah memiliki cucu.

Menurut Harissa atau nama lengkapnya Harissa Adlyn Abdul Halim, 21, kejadian itu berlaku sewaktu mereka sama-sama terlibat dalam penggambaran sebuah drama.

“Memang ada lelaki yang cuba mendekati saya. Ada yang bujang, ada berstatus suami orang dan ada juga yang sudah bercucu. Malah ada juga yang anaknya seusia saya.

“Saya dapat hidu ‘percubaan’ mereka seperti sengaja buat-buat terpegang tangan sewaktu sedang berlakon.

“Tetapi saya cuba elak selagi boleh. Dan terpaksa bertegas sekiranya melihat mereka cuba bertindak melebihi batas,” katanya kepada HibGlam.

Tambah pelakon drama Dedaun Hijau Di Angin Lalu itu lagi, dia sentiasa menjaga martabatnya sebagai wanita dan enggan dianggap sebagai perempuan murahan.

“Saya percaya jika kita pandai menjaga diri, jaga imej sebagai wanita, tidak sukar untuk kita menepis godaan lelaki.

“Saya akan terus cakap saya tidak selesa dengan tindakan mereka. Setakat ini bila saya cakap macam tu mereka akan faham,” ujarnya.

Dalam perkembangan lain, drama terbaru lakonannya berjudul Benci Jadi Cinta kini sedang hangat ditayangkan dalam aplikasi media sosial TikTok rasmi Drama Sangat TV3.

Turut bergandingan dengannya ialah Syahmie Thsaqeef dan Zhen Ning. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok