‘Buat apa nak malu’ – Farhan Mustapha masih tebar roti canai

MESKIPUN sudah bergelar juara program nyanyian Gimme The Mic, Farhan Mustapha, 28, akui tidak malu untuk terus menebar roti canai.

Menurut Farhan dia masih berpijak di bumi yang nyata dan tidak melupakan asal usulnya yang bekerja sebagai penebar roti canai sebelum bergelar juara Gimme The Mic.

“Walaupun kini saya sudah bergelar juara dan menjadi penyanyi, tetapi kalau ada kelapangan saya tetap akan menebar roti canai di kedai ibu mentua saya di Kuala Pilah, Negeri Sembilan.

Bezanya sekarang ramai yang akan tengok saya tebar roti. Saya okey sahaja. Saya tak rasa malu pun. Kerana inilah hasil saya mencari rezeki untuk anak dan isteri,” katanya ketika ditemui di majlis pelancaran single Mutiara Hati.

Enggan menunggu lama selepas tamat program Gimme The Mic, Farhan kini muncul dengan single terbaru berjudul Mutiara Hati ciptaan Zul 2by2 dan lirik oleh Pak Long DKFK dan Krisda Eyda.

“Sebenarnya lagu Mutiara Hati ini saya dapat sebelum masuk Gimme The Mic lagi. Tetapi apabila terpilih untuk menyertai program tersebut, maka proses untuk melancarkan lagu ini tergendala.

Namun inilah yang dikatakan hikmah. Lagu ini dilancarkan selepas nama saya lebih dikenali dalam industri muzik tanah air.

“Sejujurnya ini adalah single keempat saya. Sebelum ini mungkin tiga lagi single Saya kurang mendapat sambutan. Tetapi saya yakin lagu Mutiara Hati ini akan mendapat tempat di hati peminat,” katanya.

Ditanya bagaimana kehidupannya selepas bergelar juara Gimme The Mic, kata Farhan hidupnya berubah 360 darjah.

Mungkin ramai yang tak tahu 12 tahun saya mencuba nasib untuk menjadi penyanyi yang dikenali ramai. Selepas 12 tahun baru saya berjaya menjadi juara program nyanyian. Kini saya sudah ada peminat dan sudah ada yang panggil saya untuk buat persembahan.

“Sebelum ini saya sangat pemalu. Tetapi Gimme The Mic berjaya mengubah saya dari segi cara untuk berinteraksi dengan peminat, pihak media dan sebagainya,” katanya mengakhiri perbualan. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok