Bintang Korea dahulunya atlet hebat

DI sebalik wajah sempurna dan aura bintang yang memukau, ada beberapa artis Korea yang bermula di gelanggang sukan sebelum bergelar selebriti popular.  

Mereka pernah mencurahkan keringat, berjuang habis-habisan sebagai atlet, mengangkat nama dan maruah negara. 

Perjalanan dari arena sukan ke dunia seni bukanlah perkara mudah, namun mereka membuktikan sesungguhnya semangat juang tiada sempadan. 

Setiap langkah dari larian di padang hingga sorakan di pentas, membawa kisah penuh inspirasi. 

Tidak ramai yang tahu, sebelum nama dijulang sebagai figura popular K-pop, artis-artis ini terlebih dahulu berkorban banyak perkara demi cinta mendalam terhadap dunia sukan. 

Namun, takdir membawa mereka ke pentas hiburan dengan membawa semangat, dedikasi dan disiplin bekas atlet yang menjadi tunjang kekuatan mereka.

Kimchi Panas minggu ini menampilkan empat bintang Korea yang pernah mencipta nama dalam bintang sukan sebelum meraih populariti luar biasa.

Jackson Wang

Nama anggota kumpulan GOT7, Jackson Wang tidak asing lagi dalam industri K-Pop yang mendunia dengan dimensi bakat seni tiada tara.

Siapa sangka idola berusia 30 tahun itu sebenarnya seorang atlet lawan pedang sebelum bergelar penyanyi malah pernah mewakili negaranya iaitu Hong Kong dalam pertandingan antarabangsa.

Jackson memulakan latihan sukan lawan pedang sejak kecil di bawah pengawasan bapanya yang juga bekas juara dalam sukan terbabit di peringkat Olimpik. 

Jejaka tampan itu mewakili Hong Kong dalam Kejohanan Remaja Asia, meraih beberapa pingat berprestij. 

Namun, segalanya berubah apabila Jackson mendapat tawaran daripada JYP Entertainment. 

Keputusan meninggalkan sukan tersebut demi mengejar impian bergelar bintang K-Pop mengejutkan banyak pihak termasuk keluarganya.

Kini, Jackson bukan sahaja dikenali sebagai ahli GOT7 tetapi juga penyanyi solo yang berjaya. 

Kim Yuna 

Sebut sahaja nama Kim Yuna, pasti terbayang aksi luncur ais yang memukau. 

Sebelum menjadi bintang iklan dan wajah kegemaran pelbagai jenama, wanita berusia 34 tahun itu terkenal sebagai atlet luncur ais nombor satu Korea.

Kim Yuna mula berlatih pada usia lima tahun, membuktikan bakat luar biasa di atas ais sehingga diberi julukan ‘Ratu Luncur Ais’ dek kehebatannya merangkul pingat emas Olimpik Musim Sejuk di Vancouver pada 2010. 

Rekod cemerlangnya termasuk gelaran dunia dan pingat emas Grand Prix.

Setelah bersara dari arena sukan, atlet jelita itu mencuba nasib dalam bidang hiburan malah wajahnya sering menghiasi pelbagai acara dan kempen amal menjadikannya salah seorang selebriti paling dihormati di Korea.

Karisma sebagai atlet membantu Kim Yuna mencuri perhatian ramai malah penampilan yang sentiasa anggun dan profesional menjadikannya inspirasi buat generasi muda.

Cha Eun-woo 

Sebelum dikenali sebagai ‘face genius’, anggota kumpulam astro, Cha Eun-woo sebenarnya seorang pemain bola sepak berbakat. 

Wajah tampannya mula mencuri perhatian sejak zaman sekolah seiring bakat di padang bola membuatkannya lebih menonjol.

Idola berusia 27 tahun itu aktif sebagai pemain pasukan sekolah dan sering dipuji kerana strategi permainan yang cemerlang. 

Kendatipun tidak sempat menjadi pemain profesional, sukses dalam sukan membantu jejaka tampan itu menonjol sebagai pelajar yang cemerlang dalam akademik.

Sewaktu menyertai Fantagio sebagai pelatih, Eun-woo melupakan impian sebagai atlet demi mengejar peluang dalam dunia hiburan. 

Keputusan itu ternyata berbaloi apabila dia kini menjadi salah seorang idola dan pelakon terkenal.

Song Joong-ki

Sebelum menjadi pelakon terkenal, Song Joong-ki sebenarnya pelari maraton berbakat. 

Jejaka berusia 39 tahun itu sering menyertai pertandingan larian di bangku sekolah dan berjaya mencatat beberapa rekod cemerlang.

Minat terhadap sukan bermula sejak kecil, apabila dia aktif dalam pelbagai acara olahraga malah kecergasan dan disiplin sebagai atlet membantunya menyesuaikan diri dalam dunia hiburan yang mencabar.

Kendatipun tidak meneruskan karier sebagai pelari, pengalaman itu memberi kelebihan kepada Joong-ki dalam membawa watak yang memerlukan stamina tinggi. 

Sebagai contoh, peranannya dalam drama Descendants of the Sun yang menuntut aksi fizikal yang memukau.

Keupayaan aktor tampan itu menyampaikan watak dengan penuh keyakinan menjadikannya salah seorang pelakon lelaki paling dihormati di Korea. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok