Bintang K-pop ‘Taylorswifting’ lagu sendiri

DUNIA K-pop bukan sahaja dibanjiri bintang dengan tarian lincah dan vokal luar biasa, tetapi juga mereka yang berbakat besar dalam penulisan lagu. 

Dalam industri serba kompetitif, kemampuan mencipta lagu hit sendiri menjadikan seseorang idola lebih menonjol. Mereka tidak sekadar menyanyi tetapi mencurahkan emosi dan kreativiti melalui lirik dan melodi.

Penulisan lagu memperlihatkan sisi peribadi seseorang idola, menjadikan karya mereka lebih bermakna dan dekat di hati peminat.

Maka, tidak hairanlah beberapa idol telah berjaya mencipta pelbagai lagu hit yang terus popular sehingga hari ini.

Kimchi Panas minggu ini menampilkan empat bintang K-pop terkenal yang berjaya membuktikan bakat mereka sebagai penulis lagu hit. 

IU

Dikenali dengan kemerduan dan penyampaian lirik penuh emosi, IU telah membuktikan bahawa dia bukan sekadar penyanyi. 

Sebagai penulis lagu, idola berusia 31 tahun itu telah mencipta pelbagai lagu hit termasuk Through the Night, Palette dan Blueming yang sering menjadi lagu tema kehidupan peminatnya.

Kemampuan si jelita yang juga bintang Hotel Del Luna itu menceritakan kisah peribadi melalui liriknya menjadikan lagu-lagu ciptaannya begitu istimewa. 

“Setiap lagu saya lahir daripada pengalaman dan imaginasi. Saya ingin berkongsi kisah itu dengan peminat,” katanya dalam satu rancangan temu bual.

Selain lagu balada, IU juga menulis lagu berentak ceria seperti Good Day yang pernah memenangi banyak anugerah malah bakat pelbagai dimensi menjadikannya  sebagai salah seorang solo paling berjaya di Korea Selatan.

Setiap karya IU mempunyai identiti tersendiri, menjadikannya artis yang sangat dihormati bukan sahaja dalam kalangan peminat tetapi juga rakan seperjuangan.

Zico

Zico adalah ikon K-pop dengan variasi bakat di pelbagai cabang seni. 

Dikenali sebagai penulis lirik, penerbit dan rapper, jejaka berusia 32 tahun itu telah menghasilkan lagu hit seperti Any Song, Artist dan Tough Cookie malah sering mendapat tempat dalam carta muzik.

Sebagai ketua kumpulan Block B, Zico banyak mencipta lagu yang memperlihatkan sisi kreatifnya malah keunikan gaya penulisan dan melodi ciptaannya menjadikan dia sebagai antara artis paling inovatif di Korea Selatan.

Selain menghasilkan lagu untuk diri sendiri, oppa tampan itu juga mencipta lagu untuk artis lain seperti Flower Road nyanyian Sejeong, yang berjaya meraih perhatian ramai.

G-Dragon

Tidak dapat dinafikan, G-Dragon adalah nama besar dalam dunia K-pop. 

Sebagai ketua BigBang, dia telah mencipta banyak lagu hit hasil sentuhan kreatif untuk kumpulannya seperti Fantastic Baby, Haru Haru dan Bang Bang Bang 

Bukan itu sahaja, idola berusia 36 tahun itu juga menghasilkan lagu untuk projek solonya seperti Crayon dan Crooked yang mendapat pujian kerana lirik mendalam dan melodi unik. 

Bakat luar biasa jejaka tampan itu dalam penulisan lagu diakui sehingga menjadikannya sebagai salah satu ikon K-pop paling berpengaruh.

Hingga hari ini, G-Dragon terus mempengaruhi generasi baru idola yang ingin mengikuti jejak langkahnya. 

Kreativiti tanpa batas menjadikan ikon fesyen itu kekal relevan dalam industri selama lebih sedekad.

Suga 

Berdiri teguh sebagai anggota kumpulan BTS, Suga terkenal dengan kebolehannya menulis dan menghasilkan lagu. 

Banyak lagu popular BTS seperti Spring Day, Boy With Luv dan Life Goes On mendapat sentuhannya. 

Idola berusia 31 tahun itu juga  turut menghasilkan lagu untuk artis lain termasuk IU dan Suran. 

Kolaborasi dengan IU melalui lagu Eight mendapat sambutan hangat, membuktikan kemampuannya melahirkan karya luar biasa walaupun bekerja di luar zon selesa.

Sebagai salah satu idola yang aktif di belakang tabir, Suga membuktikan bahawa kejayaan tidak hanya datang dari pentas, tetapi juga daripada kerja keras menghasilkan lagu yang menyentuh jiwa pendengar.

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok