BAHAGIA menyulam cinta, pelakon Zarina Anjoulie memilih untuk merahsiakan identiti teman lelakinya yang dipercayai sudah dikenalinya lebih 10 tahun lalu.
Zarina atau mesra disapa sebagai Anju, 37, berkata, keputusan itu diambil kerana bimbang sekiranya hubungan mereka gagal ke jenjang pelamin.
“Kalau boleh saya tidak mahu dedahkan identiti dia kerana sekiranya hubungan kami tidak menjadi, nanti saya juga yang akan malu.
“Biarkan saja kerana apabila sampai masa berkahwin, saya akan maklumkan dan edarkan jemputan,” katanya kepada HibGlam.
Zarina yang ditemui pada majlis pelancaran Wawa Mummy Baby Sunscreen Set di Bangi Golf Resort, Selangor semalam juga mengakui selesa menjalin hubungan dengan individu yang sudah dikenali berbanding orang baharu.
“Terus terang saya serik berkenalan dengan lelaki baharu kerana kalian dapat lihat sebelum ini beberapa lelaki yang mendekati saya hanya ingin mengejar populariti.
Jadi disebabkan itu saya pilih untuk bersama dengan orang yang pernah saya kenal sebelum ini. Saya juga sudah penat untuk mengenali orang baharu dan memulakan semuanya dari awal.
“Lagi pun lelaki ini merupakan bekas kekasih saya dahulu. Usia kami sebaya dan hubungan kami sudah putus sekitar 12 tahun sebelum berkawan (bercinta) semula,” katanya.
Pemilik nama lengkap Zarina Anjoulie Lavocah Mohd. Fahizul turut itu turut memaklumkan kekasihnya banyak menasihatinya agar tidak bertindak atau mengeluarkan kenyataan mengikut emosi.
“Kekasih saya yang minta kalau boleh jangan terlalu lantang. Dia selalu nasihatkan saya agar menjaga tingkah laku dan kata-kata.
Dia bimbang sekiranya ada perbuatan atau kata-kata saya mungkin mengguris perasaan orang lain atau membuat mereka kecil hati. Pelbagai lagi nasihat yang dia berikan kepada saya.
“Saya memang boleh bertolak ansur dengan lelaki sekiranya dia seorang yang baik. Jadi apabila kita ingin menghargai orang itu, bagi saya kita perlu saling menghormati. Jika dia ingin saya hormat dia, dia juga perlu hormat saya,” katanya.
Sebelum ini, pelakon filem Don Dukun itu pernah mendirikan rumah tangga dengan seorang lelaki berasal dari Brunei pada 2015 tetapi bercerai pada Disember 2016.
Dalam perkahwinan tersebut, mereka dikurniakan seorang cahaya mata lelaki, Awangku Gabriel Martin Ezra, 8.
Zarina kemudian berkahwin dengan Eilyas Azhar pada 17 Julai 2020 di Pejabat Agama Islam Daerah Seremban, Negeri Sembilan.
Bagaimanapun ikatan itu berakhir dengan perceraian pada Februari 2021. Mereka kemudian rujuk semula, namun kembali bercerai sekitar dua bulan kemudian. – HIBGLAM