‘Barang disita tak sampai RM100,000’ – Rozita Che pindah semalam?

TIADA kelibat pelakon Rozita Che Wan mahupun suaminya, Zain Zaidin ketika rumahnya diserbu pihak Majlis Amanah Rakyat (Mara) pagi ini.

Bagaimanapun, sumber mendakwa Rozita atau lebih dikenali sebagai Che Ta sudah membawa beberapa barangan keluar dari kediaman mewah di Kota Damansara dengan lori semalam.

Ketika serbuan dijalankan hanya ada kelibat ibunya, Zabedah Saad yang melayani pegawai mahkamah, pihak polis, peguam dan beberapa wakil pegawai Mara.

Kira-kira beberapa minit diserbu, kelibat anak sulungnya, Ammar Effendy tampil bagi mewakili ibunya.

Usaha HibGlam untuk mendapatkan respons Ammar gagal apabila dia enggan memberikan sebarang jawapan berkaitan serbuan.

Difahamkan, dia juga enggan memberikan kerjasama pada awal tetapi terpaksa reda kerana pihak peguam menyerahkan writ penyitaan dan penjualan.

ANAK Che Ta, Ammar Effendy enggan memberi sebarang komen ketika kediaman ibunya diserbu pihak Majlis Amanah Rakyat hari ini.

Hampir dua jam serbuan, pihak peguam yang enggan dikenali memaklumkan mereka dapat menyita beberapa barangan dalam rumah bernilai kurang daripada RM100,000.

Nilai anggaran barangan disita tidak sampai RM100,000 dan kebanyakannya hanya barang dalam rumah.

“Kami akan tunggu hari lelongan dalam masa terdekat.

“Apa-apa pun kami kena tunggu anak guam untuk proses selanjutnya,” katanya kepada HibGlam selepas serbuan dilakukan.

Pagi tadi, serbuan dikhabarkan dilakukan oleh pihak Mara ke kediaman pelakon drama Kiah Pekasam di Kota Damansara setelah pelakon tersebut tidak membayar hutang pinjaman dari agensi itu berjumlah hampir RM1 juta.

Pihak peguam telah menyerahkan writ terbabit hari ini berikutan tiada maklum balas serta kerjasama daripad selebriti itu sebelum ini. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok