‘Apabila pilih akhirat, dugaan itu memang ada’ 

MESKIPUN kini manis bertudung, pelakon Norish Karman masih ditawarkan watak yang menuntutnya membuka hijab. 

Enggan melenting, Norish kekal dengan pendirian untuk tidak membuat pusingan-U dan menolak pelawaan tersebut dengan baik. 

Malah, pemilik nama lengkap Nor’Ashikin Karman itu melihat situasi tersebut sebagai ujian sementelah mendekatkan diri dengan agama. 

“Apabila kita pilih akhirat, dugaan seperti itu memang berlaku. Mungkin itu cara Allah hendak jaga saya.

“Mungkin mereka juga ada sesuatu yang dimahukan daripada pelakon dan tidak ada pada saya sebab bertudung.

“Susah bila kita cakap banyak, orang kata kita ustazah. Saya juga mohon maaf kepada mereka dan beritahu saya masih istiqamah, tak berani lagi buat perkara macam itu,” katanya. 

Teater muzikal 

Mengakui sukar mendapat tawaran berlakon, aktres berusia 50 tahun itu teruja apabila dipelawa terbabit dalam teater muzikal Sulalat ‘Us Salatin: Sebuah Kemaharajaan Maritim memainkan watak Embok Ayu. 

“Sejak tujuh tahun lalu, saya sedih kerana asyik dapat tawaran berlakon yang minta saya buka tudung. Kali terakhir, saya berlakon teater menerusi Teater Terima Kasih Cinta, kira-kira 13 tahun lalu.

“Saya mula berlakon di pentas teater pada usia 12 tahun. Jiwa memang dalam bidang teater. 

“Tawaran berlakon dalam teater muzikal ini saya sambut dengan gembira untuk kembali beraksi,” ujarnya. 

Dalam masa sama, pelakon asal Singapura itu terbuka untuk menimba ilmu bersama anak muda sepanjang bermain dalam teater arahan Siti Rohayah Attan itu.

“Saya berpegang kepada sikap ‘I’m zero’ (saya kosong) setiap projek sebab ada sahaja benda yang perlu dipelajari. 

“Malah, saya terbuka untuk belajar dengan anak muda kerana tak semestinya saya ajar mereka. Sekarang semua sudah pesat dan maju,” jelasnya.

Teater Sulalat’Us Salatin: Sebuah Kemaharajaan Maritim akan dipentaskan di Auditorium Panggung Seri, Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara Melaka (JKKNM), Ayer Keroh, Melaka selama tiga hari bermula 20 Disember ini. 

Anak 

Menukar topik perbualan, Norish turut mengakui darah seninya mengalir dalam tubuh anak-anaknya yang dilihat sangat berbakat dalam lakonan dan nyanyian. 

“Anak-anak saya minat teater, semua ada bakat dan saya bukan cakap kosong tetapi saya nampak bakat mereka. 

“Cuma belum ada rezeki lagi ke dalam dunia teater kerana sibuk dengan sekolah. Insya-Allah ada rezeki nanti sebab jauh lagi perjalanan mereka,” tuturnya. 

Pelakon filem Juang itu bagaimanapun tidak memaksa permata hatinya untuk membabitkan diri dalam dunia hiburan selain enggan beri tekanan kepada mereka. 

“Tak semestinya mak pelakon, anak-anak juga perlu ikut jalan hidup yang sama. 

“Saya tak boleh bagi tekanan atau paksa mereka sebab faham bakat mereka semua lain-lain. 

“Saya dah beritahu mereka jangan ikut dan jangan buat kerana takut orang tanya kenapa tak ikut jejak mak,” tuturnya menggulung perbualan. 

 

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok