Angkat Mak Yong, Duan Nago Bogho filem ‘evergreen’

MENGANGKAT seni Mak Yong di layar perak, Duan Nago Bogho menjadi filem yang sentiasa malar segar untuk ditonton atau dijadikan rujukan sehingga 100 tahun lagi.

Penerbitnya, Datuk Arifful Ahmadi Ab Rahman berkata, filem terbitan syarikatnya itu mempunyai keistimewaan tersendiri apabila mengetengahkan elemen budaya dan komersial secara seimbang.

“Sepanjang bergelar penerbit, saya lihat jarang filem yang mengangkat jati diri budaya diketengahkan, jadi saya berbincang dengan Sabri Yunos selaku pengarah dan penulis skrip hingga terhasilnya naskhah Duan Nago Bogho ini.

“Tidak dinafikan memang terdapat kritikan, namun saya tetap berpuas hati apabila Sabri mampu menonjolkan seni budaya Malaysia tanpa meninggalkan elemen komersial.

“Kedua-duanya sama penting, namun mengetengahkan elemen budaya kebanggaan kita merupakan sumbangan saya selaku pembikin filem untuk masyarakat serta generasi seterusnya,” katanya ketika Sesi Apresiasi Filem bersempena Festival Filem Malaysia Ke-33 (FFM33).

Menurut produser yang berpengalaman lebih dua dekad dalam dunia penerbitan, melihat sambutan yang mencecah pungutan RM1.3 juta, secara tidak langsung membuktikan elemen Mak Yong mempunyai tarikan.

Katanya, ketika ditayangkan di pawagam pada Januari 2023, filem berkenaan telah meraih kutipan pecah panggung sebanyak RM1.3 juta.

“Apa yang menariknya, filem ini turut ditayangkan di saluran Netflix yang umum mengetahui tidak semua filem tempatan dapat dijual di platform tersebut.

“Kelebihan itu turut mengesahkan Duan Nago Bogho mempunyai kualiti yang lebih tinggi untuk ditayangkan kepada penonton,” ujarnya.

Filem terbitan Kalamarif Holdings Sdn Bhd itu dicalonkan dalam tujuh kategori di FFM33 yang dijadualkan berlangsung di Kota Media RTM pada Sabtu ini.

Antaranya termasuk Filem Terbaik bersaing dengan enam lagi finalis iaitu Abang Adik, Mechamato Movie, Rain Town, Imaginur, Hungry Ghost Diner dan Sheriff.

Selain itu, teraju utamanya, Asrulfaizal turut mara dalam kategori Pelakon Lelaki Terbaik bertembung dengan empat lagi aktor iaitu Zul Ariffin (Sheriff), Beto Kusyairy (Imaginur), Shaheizy Sam (Polis Evo 3) dan Chew Kin Wah (Rain Town). – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok