‘Andai jodoh pada usia emas, saya terima’

SELESA menjalani kehidupan solo, hakikatnya Dayang Nurfaizah tiada istilah menolak cinta. 

Dia juga wanita normal namun belum terdesak mahu bersuami hanya disebabkan usia makin melonjak.

Dayang bersyukur hikmah di sebaliknya kehidupan tanpa komitmen dengan lelaki bernama suami adalah  dapat menjaga kedua orang tuanya.

Begitupun, pemilik nama lengkap Dayang Nurfaizah Awang Dowty itu tidak menolak jika ditakdirkan bertemu jodoh, waima ketika melewati usia emas sekali pun.

“Soal jodoh adalah ketentuan Ilahi. Saya tidak pernah menolak untuk jatuh cinta, bahkan percaya suatu hari nanti jodoh tetap akan hadir, cuma barangkali agak lambat.

“Semua orang ada perasaan mahu mencintai dan dicintai. Saya juga ada perasaan sama. Andai ditakdirkan jodoh saya tiba ketika usia emas pun, saya sanggup terima. 

“Tapi biarlah perasaan itu datang dari hati yang ikhlas, bukan atas tekanan atau desakan sesiapa,” katanya kepada HibGlam 

TUA atau muda jodoh yang ditakdirkan untuknya, Dayang terima dengan lapang hati.

Penghibur asal Kuching, Sarawak itu juga tidak menetapkan syarat mengenai calon pilihan, sebaliknya terbuka andai berjodohan dengan lelaki muda.

“Kita hanya merancang, jadi siapa pun jodoh kita, semua itu sudah ditentukan lebih awal sebelum kita dilahirkan lagi. Kalau ditakdirkan lelaki itu lebih muda, saya terima saja.

“Jika dipertemukan dengan yang lebih berusia juga bukan isu selagi ada persefahaman dan keserasian,” tambahnya. 

Biarpun tidak pernah melalui fasa di alam fana cinta, Dayang mengakui kebanyakan dendangannya menjurus kepada elemen kasih sayang dan percintaan.

Bahkan, album terbaharunya yang berjudul Janji turut dikatakan sesuai untuk meraikan pasangan pengantin apabila didasari beberapa seleksi indah penyatuan dua jiwa.

Memuatkan 13 lagu, buah tangan yang mengambil masa hampir dua tahun untuk disempurnakan disifatkan sebagai karya untuk halwa telinga semua kelompok pendengar. 

“Sepatutnya album ini siap dua tahun lalu, namun disebabkan saya perlu siapkan projek album Belagu 2, proses rakaman album ini terpaksa ditangguhkan.

“Ini kerana tumpuan terhadap Belagu 2 perlu diberikan 100 peratus kerana penjiwaan untuk lagu tradisional berbeza dengan album lain,” ujarnya.

MELANCARKAN album baharu berjudul Janji, buah tangan yang mengambil masa hampir dua tahun untuk disempurnakan itu disifatkan Dayang sebagai karya untuk halwa telinga semua.

Pada masa sama, katanya terdapat lagu ciptaan Ajai manakala lirik dalam album berkenaan merupakan garapan sahabat baik juga wartawan hiburan Allahyarham Rudy Imran Shamsudin atau lebih dikenali denan nama Iman Imran.

Akui Dayang, Mencintai Cinta menyelitkan kisah tersendiri yang menjentik perasaan apabila rakannya itu menghembuskan nafas terakhir sebelum sempat karya dirakamkan.

Tidak hairan ketika sesi pradengar album Janji bersama peminat baru-baru ini, tular video menunjukkan dirinya menangis.

Berikutan insiden tersebut, ada pihak mendakwa momen berkenaan sengaja disebarkan sebagai gimik promosi album.

Tidak terbawa-bawa emosi, Dayang enggan  melayan prasangka buruk kerana air mata yang gugur adalah reaksi spontan dan bukan dibuat-buat.

“Lagu ciptaan Ajai itu nukilan sahabat baik saya, Allahyarham Imran Iman yang ‘pergi’ sebelum sempat melihat saya merakamkan nukilannya.

“Rasa hiba bila mengenangkan hasratnya yang tidak kesampaian. Selalunya, arwah memang temankan saya di studio seperti lagu terdahulu, Lelaki Teragung.

“Sepatutnya Mencintai Cinta dirakamkan pada 2020 tetapi dia sihat. Selepas dua hari kerja rakaman ditangguhkan, Allahyarham yang bertarung dengan kanser meninggal dunia,” katanya.

Album Janji yang sudah dilancarkan di semua pelantar digital minggu lalu mendapat sentuhan komposer baharu dan lama termasuk Ajai, Aubrey Suwito, Audi Mok, Hael Husaini, Aisha Retno dan NJWA.

Turut dimuatkan, lagu Hakikat Cinta ciptaan Allahyarham Datuk Adnan Abu Hassan dinyanyikan semula dan dimuatkan dalam album berkenaan.

Tahun ini Dayang meraikan ulang tahun ke-25 pembabitan dalam industri seni suara.

Tidak mahu terus dirundung sayu, pemilik vokal gemersik itu berkongsi pula keterujaan bakal meraikan ulang tahun ke-25 di arena seni tahun ini.

Ditanya sama ada punya rancangan mengadakan konsert solo di lokasi seperti stadium, akui Dayang agenda sebesar itu perlukan perancangan teliti.

Lebih selesa tidak tergesa-gesa, dia terbuka untuk bekerjasama seandainya ada pihak yang ingin menyokong konsert solonya kelak.

“Sejujurnya ramai yang bertanyakan tentang konsert solo selepas kali terakhir beraksi di Istana Budaya menerusi Dayang Dua Dekad.

“Kalau cakap tentang konsert sudah tentu saya nak buat. Rindu juga nak bertemu peminat dan berkongsi segala rasa dalam setiap lagu yang saya bawakan kepada mereka.

“Tetapi, fokus saya sekarang lebih kepada album. Kalau ada peluang sudah tentu nak kekalkan apa yang saya ada buat masa ini. Mungkin belum masanya. Satu hari nanti jika sesuai. Mungkin,” ujarnya menutup bicara. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok