Adi Putra beransur pulih, sudah keluar hospital – Isteri

AKTOR terkenal Datuk Adi Putra, 43, yang dikejarkan ke hospital akibat jangkitan kuman dalam paru-paru baru-baru ini berada dalam keadaan stabil dan sudah dibenarkan pulang ke rumah.

Menurut isterinya, Datin Aida Yusof, suaminya kini berada dalam keadaan stabil dan sedang berehat di rumah.

“Selepas mendapat rawatan sejak dimasukkan ke hospital Jumaat lepas, keadaan dia okey sedikit dan beransur pulih. Doktor dah beri ubat antibiotik. Keputusan ujian darah juga tidak menunjukkan ada masalah serius. Jadi, malam tadi dia dibenarkan pulang.

“Cuma doktor berikan dia cuti lagi dua hari sebelum kembali semula ke set penggambaran,” katanya kepada HibGlam.

Berkongsi tentang kejadian Adi dimasukkan ke hospital, kata Aida, suaminya mula jatuh sakit ketika berada di set penggambaran drama untuk slot Samarinda sempena Ramadan.

“Dia telefon saya mengadu sakit ketika itu. Memang kebelakangan ini dia sangat sibuk. Berulang-alik antara Malaysia dan Makkah. Kemudian sambung semula dengan penggambaran drama. Selepas ini dia akan ke Makkah lagi pada Januari nanti.

“Adi memang kuat bekerja. Kalau boleh dia tidak mahu menyusahkan semua kru yang terlibat,” jelasnya.

Aida turut menzahirkan ucapan terima kasih kepada semua rakan industri yang tidak putus-putus menghubungi untuk bertanya tentang keadaan Adi.

Antara rakan selebriti yang dilihat menziarahi Adi di hospital ialah pengarah filem Mat Kilau, Syamsul Yusof.

Tambah Aida lagi, selepas ini dia akan sentiasa memantau keadaan suaminya agar tidak berlaku lagi sebarang kejadian tidak diingini. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok