DIA bukanlah pelakon pertama tanah air yang berjaya memecah tembok menembus pasaran Seberang, namun usahanya untuk dikenali di tanah republik tersebut harus diberikan tepukan.
Sudah seperti rumah kedua, berulang-alik setiap minggu antara Kuala Lumpur – Jakarta seperti sudah menjadi rutin hidupnya kini.
Penat, itu semua ditolak ke tepi. Sasarannya hanya satu, memahat nama di luar Malaysia. Itu pengorbanan yang perlu dilakukan Anna Jobling ketika ini.
Tidak pernah terlintas melupakan tanah air, anak seni berdarah kacukan Inggeris-Melayu hanya ingin mengembangkan bakat, sekali gus berpeluang menimba ilmu di negara luar.
Dari satu sisi yang lain juga, ada pengorbanan yang harus dibayar.
Indonesia
“Memang dapat banyak tawaran dari sana tetapi saya juga perlu susun jadual agar tidak berlaku pertindihan kerja.
“Sebab terlalu padat, saya ada melepaskan tawaran di sana dan di sini juga.
“Sebenarnya ada beberapa tawaran di sini yang sangat bagus tetapi saya perlu tolak, mungkin itu pengorbanan yang harus dibayar apabila mencipta nama di negara orang,” katanya HibGlam.
Lazimnya, ketika nama sedang memuncak, mana-mana anak seni pasti lebih bersifat selektif dalam menerima tawaran lakonan dan begitu juga yang berlaku kepada dirinya.
Bukan hendak menjadi pelakon yang cerewet, Anna sedar acuan tersebut perlu dibentuk demi memajukan diri ke tahap lebih versatil.
“Buat masa sekarang saya tidaklah terlalu selektif tetapi setiap tawaran perlu disusun ikut jadual, saya tak suka buat banyak kerja dalam satu masa.
“Namun, saya selektif dari segi watak, jalan cerita dan skrip.
“Kalau diberi peluang, mahu mencuba pelbagai jenis karya, selagi mampu, saya nak cabar kemampuan diri,” tutur aktres berusia 24 tahun itu.
Teruja membuka bicara tentang filem seram pertamanya berjudul Lembayung, dia terharu menerima pujian daripada pengarah naskhah tersebut iaitu Baim Wong.
Bahkan daripada kaca mata Baim, Anna disifatkan sebagai pelakon berdedikasi dalam melakukan apa sahaja perkara demi watak dan mempunyai potensi besar.
Menjayakan watak hantu bernama Tantri, Anna menterjemahkan karakter tersebut dengan cemerlang dan meraih pujian, selain berjaya membuka mata ramai orang tentang kemampuan lakonannya.
“Faktor utama membuatkan saya bersetuju menjayakan filem Lembayung disebabkan mahu tunjuk kepada semua bahawa Anna Jobling bukan seorang pelakon yang sentiasa dapat watak perempuan cantik, ayu, baik atau dramatik sahaja.
“Ketika ditawarkan watak hantu, saya tidak mahu jadi hantu cantik. Jadi, saya lakukan homework dengan teliti, ambil masa cari karakter dan rasa, serta berusaha menukar penampilan untuk watak itu.
“Harapnya, saya berjaya pamerkan kemampuan untuk beri versatiliti dalam lakonan,“ ujarnya yang teruja bergandingan dengan aktor popular, Arya Saloka dalam naskhah berkenaan.
Bagi memantapkan kualiti kerja, dia turut mengikuti kelas lakonan bersama aktor veteran di sana, Yaya Unru atau nama sebenarnya, Andi Wahyuddin Unru, 61. Sayangnya, Andi tidak sempat menyaksikan hasil lakonan Anna kerana meninggal dunia sebulan selepas penggambaran.
“Banyak yang saya pelajari daripada arwah termasuk cara hantu merangkak dengan betul, bagaimana untuk mengembangkan watak dan sebagainya. Memang terlalu banyak ilmu ditimba.
“Semua yang dipelajari daripada arwah digunakan sepenuhnya ketika merealisasikan watak Tantri.
“Setiap apa yang diajar, semua saya catat dalam nota dan sangat berguna,” jelas pemilik nama penuh Anna Ellisa Gustin Jobling Abd. Rahman Jobling itu.
Bercerita lagi tentang kesediaan menjelmakan watak seram, Anna sekali lagi bertegas hanya mahu dikenali sebagai pelakon versatil dan mampu membawa pelbagai karakter.
Kesungguhannya terbukti apabila sanggup menggantung diri selama lapan jam bagi menjayakan watak watak Tantri, selain yakin dengan kecekapan kru produksi yang bertugas di set penggambaran bagi memastikan keselamatannya terjamin.
“Saya sanggup ‘dijerut’ dan tergantung selama hampir lapan jam. Sepanjang tu memang saya makan, tidur pun dalam keadaan tergantung tetapi ada kerusi disediakan, kalau penat saya saya duduk sambil leher dijerut.
“Ikatan tu sebenarnya boleh dilonggarkan, cumanya saya malas nak turun naik dan proses nak pasang alat keselamatan agak rumit. Jadi saya ambil keputusan untuk terus tergantung tetapi kaki saya memijak kerusi.
“Selepas pengarah sudah dapat apa yang dimahukan, ikatan itu terus dilepaskan. Kemudian baru saya boleh bernafas dengan lega dan sudah ada kru yang bersedia sambut kaki saya,” tuturnya yang menerima beberapa tawaran filem dan drama di Indonesia untuk 2025. – HIBGLAM